Ada ejen tertentu menyamar guna nama PR1MA - Afnan Hamimi

Gambar kecil: Afnan Hamimi
Gambar kecil: Afnan Hamimi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen pembangkang mendakwa wujudnya kumpulan tertentu yang menyamar untuk menjual rumah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, kira-kira 100 pembeli telah ‘terjerat’ dengan pembelian rumah yang tidak wujud tersebut.

“Kes ini (dilaporkan) berlaku di Simpang Empat, Alor Setar. Ada ejen tertentu menyamar menggunakan nama PR1MA, kesemua logo, kepala surat PRIMA, surat tawaran daripada bank.

“Dimaklumkan ada hampir 100 orang pembeli yang telah tertipu dan telah membayar duit belasan ribu ringgit setiap seorang menggunakan nama orang PRIMA,” katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.

Afnan Hamimi membangkitkan perkara itu kepada Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi itu, Akmal Nasrullah berkata, penyamaran oleh individu tidak bertanggungjawab itu merupakan perbuatan jenayah.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang menjadi mangsa untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

“Ramai juga yang cuba mengelirukan (orang ramai) melalui pengiklanan di Facebook sebagai contoh. Saya sendiri pun ada terlihat. Perkara ini sekiranya berlaku, memang perlu dikemukakan kepada pihak polis. Sebab itu telah jatuh ke masalah (perbuatan) jenayah.

“Cuma untuk perinbgatan kepada para pembeli di luar sana yang mungkin berminat untuk projek PR1MA, saya nasihatkan kepada bakal pembeli untuk semak terus dengan sama ada di laman web rasmi dan jangan percaya kepada pautan pihak ketiga yang diletakkan di Facebook, Twitter dan sebagainya,” katanya.