Mindef pertimbang lanjut usia persaraan tentera

Adly (tengah) ketika menjadi panelis Wacana Sinar Siri 401 yang membincangkan tajuk Membela Sosioekonomi Veteran Tentera di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Adly (tengah) ketika menjadi panelis Wacana Sinar Siri 401 yang membincangkan tajuk Membela Sosioekonomi Veteran Tentera di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertahanan (Mindef) mempertimbangkan cadangan untuk melanjutkan usia persaraan anggota tentera bagi menjaga kebajikan mereka.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, sekiranya tempoh perkhidmatan bagi anggota lain-lain pangkat dipanjangkan, ia boleh menyelesaikan masalah yang membelenggu golongan itu terutama membabitkan kebajikan, perumahan dan tanggungan pendidikan anak-anak.

"Kalau kita lihat pegawai tentera, usia pencen adalah sekitar 60 tahun tapi bagi anggota lain-lain pangkat, dulu kerajaan ada buat keputusan untuk beri mereka pilihan perkhidmatan sehingga 26 tahun.

"Kalau perkhidmatan hingga 26 tahun, usia pencennya sekitar 48 hingga 50 tahun tapi dari segi sosial, bebanan kehidupan kita memang sehingga 55 tahun kerana kalau di bawah usia berkenaan mungkin anak masih bersekolah, berada di universiti dan seumpamanya.

"Jadi saya tak nafikan perkara itu menjadi pertimbangan kita," katanya ketika menjawab soalan penonton pada Wacana Sinar Siri 401 yang bertajuk Membela Sosioekonomi Veteran Tentera yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Pengarah Operasi Konsortium Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel (B) Jalil Ithnin dan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar.

Mengulas lanjut, Adly menjelaskan, beliau sebelum ini pernah melontarkan persoalan mengapa anggota tentera tidak boleh bersara pada usia maksimum seperti mana penjawat awam yang lain.

Adly
Adly

Justeru, beliau berpendapat, inisiatif tersebut boleh dimulakan di peringkat anggota tentera yang terlibat dengan bidang teknikal di Mindef.

"Usaha ini (pelanjutan tempoh persaraan) pernah dibuat tetapi tidak dijadikan proses yang berterusan untuk kita pastikan anggota lain-lain pangkat boleh dipanjangkan (tempoh perkhidmatannya).

"Langkah ini mungkin membolehkan kita selesaikan sebahagian daripada masalah (anggota tentera) selain kita bantu mereka dengan buat padanan kerja dan beri latihan (selepas bersara)," ujarnya.

Sementara itu, Adly menegaskan, Mindef mengambil perhatian terhadap semua aspek kebajikan anggota dan pegawai pertahanan negara.

"Kalau disebut berkhidmat sebagai anggota pertahanan ini seolah-olah tak ada masa depan, saya tak fikir begitu.

"Sebab kita ada Majlis Angkatan Tentera dan memang ada arahan untuk menilai semua aspek-aspek termasuk dari segi penggajian kerana ia akan memberi kesan (bayaran) pencen pada masa akan datang," jelasnya.