Janji palsu, rasuah faktor golongan muda hilang kepercayaan

Anwar ketika menyampaikan amanat kepada para pelajar tajaan JPA di Institusi Pengajian Tinggi pada Program Bicara Siswa Cakna Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM Bangi pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar ketika menyampaikan amanat kepada para pelajar tajaan JPA di Institusi Pengajian Tinggi pada Program Bicara Siswa Cakna Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM Bangi pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Budaya memberikan janji palsu dan fatwa mengikut selera politik serta amalan rasuah dalam kalangan pemimpin menjadi antara faktor golongan muda berdepan defisit kepercayaan terhadap kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keadaan itu membuatkan golongan muda berasa bingung dan memikirkan nasib mereka tidak terbela sekiranya menyokong pimpinan kerajaan yang mengamalkan budaya sedemikian.

"Saya minta kerjasama saudara, tidak harus ada ‘trust defisit’ bagi orang yang cuba membawa perubahan dengan sedaya mereka mengikut ajaran al-Quran. Kita (kerajaan) cuba.

"Saya datang ke sini bukan untuk mengecam membuta tuli tapi saya ada asas yang kukuh. Percayalah negara ini harus diselamatkan. Negara ini tidak harus terkenal sebagai negara dengan pemimpinnya rasuah belaka,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada Majlis Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Pelajar Tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada Selasa.

Bagi mengembalikan keyakinan golongan muda terhadap kerajaan, Anwar bertekad dengan amanah yang diberikan rakyat kepadanya pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lepas, beliau akan mengembalikan semula tata kelola pentadbiran yang baik selain memerangi isu rasuah dalam memastikan kelancaran kepimpinannya.

Beliau berkata, pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan juga mempunyai kesepakatan yang sama untuk meninggalkan amalan buruk itu demi memastikan Malaysia terus terpelihara.

"Saya baru tujuh bulan jadi perdana menteri. Saya tahu ini bukan kerja kecil. Kelompok besar yang rasuah akan berpakat untuk bayar dana kepada orang politik dan NGO (badan bukan kerajaan) untuk serang kerajaan.

"Rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri jaga (perkara ini), walaupun latar belakang lain, parti lain...yang penting kesepakatan kami, komitmen kami tinggalkan amalan yang jelik ini,” katanya. - Bernama