Rancang bina 1,000 unit Rumah Transit Bangsa Johor

Mohd Jafni (kanan) pada Majlis Undian Terbuka RTBJ Taman Kempas Utama di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), pada Selasa.
Mohd Jafni (kanan) pada Majlis Undian Terbuka RTBJ Taman Kempas Utama di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor merancang membina 1,000 unit kediaman Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ) di lokasi tumpuan terutama Johor Bahru dan Iskandar Puteri dalam tempoh lima tahun.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, usaha kerajaan negeri ini bagi memastikan lebih ramai rakyat Johor mampu memiliki kediaman sendiri.

Jelasnya, inisiatif RTBJ ini mendapat sambutan yang luar biasa setelah menerima permohonan hampir 500 pemohon membabitkan projek rintis RTBJ di Taman Kempas Utama Johor Bahru.

"Bagi projek yang julung kali diadakan ini, kita menawarkan 92 unit rumah RTBJ di Taman Kempas Utama dan mendapat 492 permohonan daripada individu yang layak.

"Pada tahun depan pula, kita akan menawarkan 216 unit RTBJ di kawasan Kulai dan 100 unit di kawasan Iskandar Puteri pada 2026," katanya pada Majlis Undian Terbuka RTBJ Taman Kempas Utama di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), di sini pada Selasa.

Menerusi program tersebut, katanya, individu yang terpilih boleh menyewa unit RTBJ dengan bayaran RM650 sebulan.

"Daripada jumlah itu, RM460 akan ditolak sebagai bayaran sewa bulanan manakala RM190 akan dijadikan simpanan mereka.

"Jumlah simpanan yang terkumpul iaitu RM2,280 setahun atau RM11,400 selepas lima tahun akan dijadikan deposit untuk membeli rumah baharu.

"Kerajaan negeri seterusnya akan membantu individu berkenaan mencari rumah, selain mengeluarkan surat pengesahan mereka mampu membeli rumah terpilih. Sudah tentu ia amat membantu bagi mereka yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai slip gaji," ujarnya.