Perjuangan bermula

Azizulhasni (depan) diikuti Shah Firdaus dan Fadhil kini memburu mata penting bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Azizulhasni (depan) diikuti Shah Firdaus dan Fadhil kini memburu mata penting bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
A
A
A

JAGOAN dunia, Datuk Azizulhasni Awang akan mengetuai cabaran Malaysia pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 yang dibuka secara rasmi di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan pada Rabu.

Tampil berlumba di laman sendiri, Azizulhasni dan barisan pelumba Malaysia lain harus menggunakan segala peluang yang ada bagi menjelmakan kejayaan gemilang di hadapan penyokong mereka.

Malah, dengan mata kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi taruhan, perjuangan Azizulhasni dan dua lagi pelumba elit - Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis sewajarnya berada di landasan yang tepat.

Namun, tumpuan sudah pasti terarah kepada kelibat Azizulhasni yang mahu mencipta legasi tersendiri pada ACC kali ini apabila bakal membuat penampilan dalam acara individu - pecut dan keirin elit.

Pemburuan emas pertama Malaysia berkemungkinan disumbangkan trio lelaki - Mohd Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah apabila mereka dijangka memulakan perhitungan dalam acara final pecut berpasukan elit lelaki pada Rabu.

Pada ACC di New Delhi, India tahun lalu, trio pecut berpasukan negara yang dianggotai Shah Firdaus Sahrom, Fadhil dan Muhammad Ridwan merangkul pingat perak selepas diketepikan pasukan Jepun.

Hari kedua ACC 2023 pada Khamis pula menyaksikan Azizulhasni, Shah Firdaus dan Fadhil mengatur kayuhan untuk melayakkan diri ke pusingan akhir acara pecut individu dan keirin yang dijadualkan pada 16 Jun serta 18 Jun nanti.

Fadhil yang juga pemegang rekod Asia acara 1 kilometer ujian masa individu pula boleh menambahkan koleksi pingat emas untuk kem Malaysia apabila menyertai acara kegemarannya itu pada hari terakhir Isnin ini.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri - bintang muda yang dianggap jaguh dalam pembikinan pula boleh membuktikan keupayaannya apabila acara kegemarannya, 500 meter ujian masa individu wanita.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab percaya berbekalkan sokongan padu penonton dan persiapan beraksi di laman sendiri boleh menjadi faktor penentu kejayaan barisan pelumba negara.

“Saya percaya semua pelumba negara khususnya Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil kini berada dalam prestasi terbaik bagi menghadapi ACC kali ini, seterusnya mengutip mata penting untuk kelayakan Sukan Olimpik Paris.

“Doa saya agar semua pelumba negara berjaya mencapai sasaran masing-masing. Sebagai Presiden PKBM, saya amat berharap mereka boleh mengutip mata maksimum,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sebanyak 17 buah negara termasuk Malaysia melibatkan lebih 500 pelumba mengesahkan penyertaan pada perlumbaan berprestij di rantau Asia itu yang bakal berlangsung selama enam hari.

Selain ACC, tiga edisi Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2023 yang sebelum ini berlangsung di Jakarta, Indonesia; Kaherah, Mesir dan Milton, Kanada menjadi pentas buat setiap pelumba memburu mata kelayakan Sukan Olimpik 2024.