Kerajaan jamin bekalan lembu korban cukup

Mohamad (kiri) mengadakan lawatan dan tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (TRC) Tunjong, Kota Bharu pada Ahad.
Mohamad (kiri) mengadakan lawatan dan tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (TRC) Tunjong, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan memberi jaminan bekalan lembu untuk sambutan Aidiladha mencukupi pada tahun ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia sekali gus membolehkan umat Islam melaksanakan ibadah korban sebagaimana yang dituntut oleh agama.

"Setakat ini bekalan lembu berada dalam keadaan cukup, hasil tinjauan yang dilakukan oleh pihak kementerian," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (TRC) Tunjong, di sini pada Ahad.

Menurut beliau, ketika ini kebanyakan ternakan adalah dari luar iaitu Myanmar dan Thailand.

Ujarnya, kebiasaan harga ternakan itu tidak menentu dan bergantung mengikut jumlah bekalan.

Mohamad memberitahu, sungguh pun begitu, harga ternakan masih lagi stabil dan tidak melambung tinggi.

"Kos untuk bawa dari sana itu yang menjadikan harga agak tinggi dan ia disebabkan oleh kos pengangkutan serta kurantin," ujar beliau.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, kerajaan turut memberi jaminan bekalan bahan mentah lain mencukupi sepanjang perayaan Aidiladha nanti.

Tambah beliau, rakyat diingatkan supaya tidak membuat pembelian panik menjelang sambutan tersebut.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohamad memberitahu, kerajaan memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta untuk menyediakan bilik sejuk beku di RTC Tunjong dalam usaha mengukuhkan bekalan makanan negara.

"Bilik sejuk itu secara tidak langsung dapat 'menyelamatkan' stok makanan apabila berlaku lambakan hasil.

"Sebanyak RM200,000 turut diberikan bagi menaik taraf medan pemborongan kuih tradisional yang terdapat di sini," katanya.