MTNP catat keputusan SPM cemerlang

Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Lafzul Muda Al-Hafiz (depan, tujuh dari kiri) bersama tetamu yang hadir dan pelajar yang mencatatkan keputusan SPM cemerlang pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2022 Maahad Tahfiz Negeri Pahang pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Lafzul Muda Al-Hafiz (depan, tujuh dari kiri) bersama tetamu yang hadir dan pelajar yang mencatatkan keputusan SPM cemerlang pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2022 Maahad Tahfiz Negeri Pahang pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Buat pertama kali dalam sejarah 25 tahun penubuhannya, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) berjaya mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 1.20 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan pada Khamis.

Yayasan Pahang dalam satu kenyataan berkata, ia adalah kali kesembilan MTNP berjaya mengekalkan pencapaian terbaik SPM peringkat negeri Pahang.

“Pencapaian ini meletakkan MTNP sebagai sekolah terbaik mendahului sekolah-sekolah berprestasi tinggi dan berasrama penuh di negeri Pahang.

“Ia juga meletakkan MTNP dalam kelompok lima sekolah terbaik di Malaysia setanding dengan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, daripada 54 calon menduduki peperiksaan tersebut, seramai tujuh calon berjaya mencatat keputusan cemerlang 11A, diikuti seramai 10 pelajar memperolehi 10A, seramai 17 pelajar memperolehi 9A dan 10 pelajar memperolehi 8A serta 11 pelajar mencatatkan keputusan 7A.

“Lebih istimewa lagi kesemua pelajar ini telah berjaya khatam dan menghafaz 30 juzuk al-Quran.

“Seramai 40 daripadanya telah lulus ujian syahadah (membaca secara hafazan tanpa salah) kategori lima, 10 dan 15 juzuk al-Quran,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelajar-pelajar ini juga aktif dalam kokurikulum antaranya debat, sukan berkuda, golf, bola jaring, catur, inovasi dan robotik peringkat negeri dan kebangsaan serta antarabangsa.

Sementara itu, Nik Hadif Darwisy Mohd Hazaki dinobatkan Pelajar Terbaik SPM 2022 MTNP dengan pencapaian 11A.

Beliau yang telah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dan syahadah juga aktif dalam kokurikulum khususnya debat dan menjadi juara di peringkat negeri Pahang, nasional hingga ke peringkat antarabangsa.

“Kejayaan para pelajar ini diharap dapat diteruskan lagi hingga ke peringkat tertinggi seterusnya berjaya menjadi hufaz teknokrat dan pakar dalam pelbagai bidang bagi menerajui negeri Pahang dan negara amnya pada masa hadapan sebagaimana misi dan visi penubuhan institusi ini.

MTNP adalah institusi tahfiz milik Yayasan Pahang, sebuah agensi kerajaan negeri Pahang yang ditubuhkan untuk memartabatkan pendidikan anak- anak Pahang.