Keunikan Lata Kashmir tarik ribuan pengunjung

Panorama seakan Kashmir, Pakistan dengan hamparan rumput menghijau berhampiran Empangan Pergau menjadikan lokasi tersebut diserbu ribuan pengunjung. - Foto: Bernama
Panorama seakan Kashmir, Pakistan dengan hamparan rumput menghijau berhampiran Empangan Pergau menjadikan lokasi tersebut diserbu ribuan pengunjung. - Foto: Bernama
A
A
A

JELI - Panorama seakan Kashmir dengan hamparan rumput menghijau berhampiran Empangan Pergau, di sini, menjadikan lokasi tersebut diserbu ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri sejak tular awal tahun ini.

Kehadiran ramai pelawat memberi idea kepada Zulfadli Khuzaimah, 33, untuk mengubah suai kebun buah-buahan milik bapanya seluas 1.5 hektar yang terletak berhampiran 'Lata Kashmir' menjadi sebuah tapak perkhemahan.

Menurut Zulfadli sejak dibuka, Lata Kashmir Campsite mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung yang datang beriadah bersama ahli keluarga dan rakan.

"Ketika itu kawasan kebun ayah agak terceruk, semak dan hanya terdapat satu lorong kecil menuju ke lokasi ini. Hanya penduduk tempatan yang selalu datang untuk menikmati pemandangan di sini.

"Bermula dari situ, saya mendapat ilham untuk membangunkan kebun ini sebagai lokasi pelancongan dengan membersihkan kebun dan membina jalan masuk yang lebih besar menggantikan lorong berlumpur dan sempit sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Orang ramai meluangkan masa bersama keluarga dengan bersantai di salah satu tempat menarik di Jeli iaitu Lata Kashmir. - Foto: Bernama
Orang ramai meluangkan masa bersama keluarga dengan bersantai di salah satu tempat menarik di Jeli iaitu Lata Kashmir. - Foto: Bernama

Bercerita lanjut, Zulfadli berkata, dia bersama sepupu, Nor Hisham Inshemazin, 38, kemudian mula merangka pelbagai perancangan untuk membangunkan kawasan tersebut.

Ia termasuk meratakan tanah, membersihkan kawasan batuan di sepanjang sungai dan menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti tandas, surau, khemah dan bangku untuk kemudahan pengunjung.

"Saya tidak sangka pembaharuan yang dilakukan menjadikan kawasan ini yang berlatarkan air sungai yang jernih, hamparan rumput menghijau dan gunung-ganang menjadi sangat menarik.

"Bermula dari situ, ramai yang berkongsi destinasi ini di laman sosial dan Lata Kashmir mula dikenali serta dikunjungi ramai," katanya.

Lata Kashmir kini menjadi satu tarikan baharu di Jeli yang sesuai untuk semua terutama mereka yang gemarkan aktiviti lasak dan sukan air sambil menikmati suasana hijau alam semula jadi.

Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk meredah jeram dari Lata Kashmir ke Gunung Reng yang mengambil masa dua jam.

Selain itu, Lata Kashmir juga menyediakan pakej aktiviti 'jungle trekking' bagi mereka yang meminati aktiviti lasak.

Pengunjung tidak melepaskan peluang merakam keindahan dan kejernihan air di Lata Kashmir ketika mengunjunginya di sini.
Pengunjung tidak melepaskan peluang merakam keindahan dan kejernihan air di Lata Kashmir ketika mengunjunginya di sini.

Lebih menarik, pengunjung juga boleh mengunjungi beberapa lokasi lata lain termasuk Lata Dilwale, Lata Janggut dan Lata Hokkaido yang terletak tidak jauh dari Lata Kashmir.

Zulfadli berkata beberapa penambahbaikan akan terus dilakukan untuk keselesaan pengunjung termasuk membina chalet, restoran dan pelantar untuk aktiviti berswafoto.

Beliau juga akan menaik taraf sistem tempahan yang lebih sistematik bagi memastikan lokasi tersebut tidak terlalu padat dengan pengunjung terutama pada hari minggu dan cuti sekolah.

Sementara itu, pengunjung, Qadar Afi Md Arif, 37, dari Johor berkata beliau mengunjungi Lata Kashmir kerana destinasi itu menyediakan kelainan berbanding lokasi pelancongan lain.

"Lokasi ini sangat unik dan memberi pengalaman berbeza buat pengunjung. Dengan kemudahan dan penyelenggaraan yang lebih baik, saya yakin destinasi ini mampu menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan," katanya. - Bernama