Empat huffaz peroleh 11A semua mata pelajaran

Mohd Shari (duduk depan tiga dari kanan) bergambar bersama calon SPM 2022 selepas Majlis Pengumuman Keputusan SPM MITS Sabak Bernam di sini pada Khamis.
Mohd Shari (duduk depan tiga dari kanan) bergambar bersama calon SPM 2022 selepas Majlis Pengumuman Keputusan SPM MITS Sabak Bernam di sini pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - [DIKEMAS KINI] Seramai empat huffaz al-Quran di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Sabak Bernam meraih keputusan cemerlang apabila memperoleh semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Empat calon SPM yang memperoleh 11A dalam semua mata pelajaran itu ialah Syihab Dhiaulhaq Mohd Khairil Shahrizal,18, Ahmad Nadhil Abqarial Idris,18, Muhammad Faateh Abd Razak,18, dan Adi Ashraff Rashidi,18.

Pengetuanya, Mohd Shari Kaderan berkata, maahad tahfiz itu memberi tumpuan sepenuhnya bagi memastikan keseimbangan tahfiz al-Quran dan ilmu akademik.

"Empat pelajar cemerlang kita semuanya huffaz al-Quran 30 juzuk dan ini membanggakan pihak sekolah kerana mereka juga berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM," katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM MITS Sabak Bernam di sini pada Khamis.

Mohd Shari berkata, besar harapan pihak sekolah untuk melihat lepasan SPM menjadi golongan profesional huffaz al-Quran.

"Aliran sains tulen sudah dua tahun ditawarkan di sekolah ini dan kita ingin melihat ada dalam kalangan doktor yang huffaz dan ulama aliran turath dilahirkan dari sekolah ini," ujar beliau.

Katanya, keputusan keseluruhan SPM 2022 di sekolah itu meningkat berbanding pada tahun lalu dengan Gred Purata Sekolah (GPS) pada tahun ini ialah 2.78 berbanding 2.85 pada tahun lalu.

Sementara itu, Syihab Dhiaulhaq berkata, dia menggunakan aplikasi YouTube untuk menonton cara-cara menjawab peperiksaan.

Jelas anak kedua daripada enam beradik itu, platform digital itu mempunyai pelbagai maklumat yang boleh membantu calon SPM menjawab peperiksaan.

"Biarpun teknologi ini banyak membantu, namun saya tidak pernah lupa jasa guru di sekolah yang sememangnya bertungkus-lumus bagi memastikan kami lulus dengan cemerlang.

"Saya amat berterima kasih kepada ibu dan bapa yang tidak putus berdoa serta memberikan kata-kata semangat untuk saya cemerlang," tambahnya.