Belajar secara PdPR tidak halang pelajar skor 9A

Sofea Khadijah (kiri) dan Nurzalika (kanan) ceria memperoleh keputusan cemerlang 9A di Sekolah Tun Fatimah (STF) Johor Bahru.
Sofea Khadijah (kiri) dan Nurzalika (kanan) ceria memperoleh keputusan cemerlang 9A di Sekolah Tun Fatimah (STF) Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kekangan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak menghalang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 memperoleh keputusan cemerlang 9A.

Pelajar Sekolah Tun Fatimah (STF), Sofea Khadijah Mohd Hanafi, 18, dan Nurzalika Mohd Latiff, 18, mengakui belajar PdPR cukup mencabar dan perlu menguatkan semangat untuk mendapat kejayaan cemerlang demi keluarga dan sekolah.

Sofea Khadijah berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19, pembelajaran secara PdPR sudah dilaksanakan ketika di Tingkatan Tiga.

"Cabaran belajar secara PdPR perlu ada displin kerana tiada guru yang memantau, berbeza jika belajar di dalam kelas, mudah bertanya dengan guru.

"Segalanya bergantung kepada usaha sendiri, sewaktu ujian secara dalam talian saya akan buat sebaiknya kerana mahu ujian kemampuan. Waktu belajar PdPR bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan kemudian diikuti dengan latihan sehingga jam 3 petang," katanya.

Sebelum itu, Sofea Khadijah bersama 155 calon SPM diraikan pada majlis pengumuman keputusan SPM 2022 di STF yang dihadiri oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Datuk Yahya Jaafar dan Pengetua, Noor Hayati Yusoff.

Calon SPM di Sekolah Tun Fatimah bergambar selepas memperoleh keputusan cemerlang.
Calon SPM di Sekolah Tun Fatimah bergambar selepas memperoleh keputusan cemerlang.

Bercerita tentang masa depannya, Sofea Khadijah yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu mahu menyambung pengajian dalam perubatan di Universiti Malaya (UM) seterusnya mengikut jejak langkah ayahnya bergelar doktor.

Sementara itu, bagi Nurzalika Mohd Latiff, 18, mengakui berdepan kesukaran yang sama ketika berlajar secara tidak bersemuka, namun guru-guru banyak membantu.

"Saya meminati bidang perakaunan dan mahu menyambung pengajian di Amerika Syarikat.

"Saya bersyukur memperoleh keputusan cemerlang dan membanggakan kedua ibu dan ayah," katanya.