24,240 PATI ditahan sejak Januari

Imigresen menjalankan pemeriksaan di penempatan warga asing semasa serbuan di Pulau Meranti, Puchong di Selangor pada Khamis. - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
Imigresen menjalankan pemeriksaan di penempatan warga asing semasa serbuan di Pulau Meranti, Puchong di Selangor pada Khamis. - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PUCHONG - Seramai 24,240 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di seluruh negara menerusi pelbagai siri operasi pada tahun ini sejak Januari.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, statistik setakat 6 Jun itu merekodkan 3,617 operasi serta 40,459 pemeriksaan.

"Pemeriksaan itu telah menahan 24,240 PATI selain 145 majikan kerana melindungi serta menggajikan PATI.

Ruslin
Ruslin

"Tindakan berterusan kita buat antaranya pertingkat risikan, aduan dan inisiatif mencari kawasan yang sering dikunjungi warga asing terutama mereka yang membuka kedai runcit dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas operasi tangkapan PATI di Pulau Meranti di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, 19,059 PATI telah diusir tahun ini bagi tempoh 1 Januari hingga 5 Mei lalu.

Katanya, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan warga asing yang melanggar peraturan negara seperti Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

"Jabatan Imigresen Malaysia mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI boleh salurkan kepada JIM bagi kita melaksanakan penguatkuasaan undang-undang," ujarnya.