Pengundi wanita 'penyelamat' UMNO

UMNO akan pulih dengan lebih pantas jika parti dapat menarik lebih ramai pengundi wanita.
UMNO akan pulih dengan lebih pantas jika parti dapat menarik lebih ramai pengundi wanita.
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO menyandar harapan tinggi kepada Pergerakan Wanita dan Puteri untuk menarik lebih ramai pengundi golongan itu bagi mendepani pemulihan parti tersebut.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO akan pulih dengan lebih pantas jika parti dapat menarik lebih ramai pengundi wanita.

"Ini kerana jumlah pengundi wanita khususnya golongan muda adalah amat besar dan bertambah berlipat kali ganda.

"Mereka mesti menjadi sasaran kita untuk sokongan dan akhirnya untuk keahlian pergerakan Puteri dan Wanita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.

Tambah Mohamad, UMNO merupakan parti pertama dalam politik negara yang menubuhkan pergerakan Puteri untuk wanita muda namun sekarang parti tersebut dilihat terkebelakang dalam menarik sokongan mereka.

"Ia perlu berubah. Sekarang, kita mesti menjadi parti lebih proaktif, untuk merekrut golongan hawa ini.

"Dekati dan ajak mereka dan Insya-ALLAH akhirnya, menyertai dan menjadi aktivis parti," ujarnya.

Beliau turut berharap segala gerak kerja Wanita dapat dimodenkan dengan teknologi, menggunakan data dan kecanggihan sosial media.