Mayat lelaki ditemui berlumuran darah di kawasan semak

Pasukan forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian susulan penemuan mayat seorang lelaki berhampiran Jalan Son Ban Kheng, Bukit Mertajam pada Selasa.
Pasukan forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian susulan penemuan mayat seorang lelaki berhampiran Jalan Son Ban Kheng, Bukit Mertajam pada Selasa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditikam dengan senjata tajam di kawasan semak berhampiran Jalan Son Ban Kheng, di sini pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, lelaki berusia 70-an itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan luka di bahagian badan oleh orang awam kira-kira jam 7.45 malam sebelum melaporkan penemuan itu kepada pihak polis.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menahan dua lelaki berusia 50-an dan 60-an yang disyaki terlibat dengan kes terbabit.

"Kedua-dua suspek ditahan pada Rabu di Hospital Bukit Mertajam dan Klinik Kesihatan Berapit di sini.

"Kedua-dua lelaki itu telah mendapatkan rawatan akibat mengalami kecederaan disyaki berkaitan dengan kejadian," katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.

Cheng San berkata, semakan yang dibuat mendapati salah seorang suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk tujuh kes narkotik.

Katanya, punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan mangsa hingga berlakunya pergaduhan yang mengakibat kematian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati," katanya.