'Kami sangat dahagakan tiga mata penuh'

Nazrulerwan
Nazrulerwan
A
A
A

PENOLONG jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak mudah leka berdepan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Rabu.

Nazrulerwan berkata, sikap itu boleh membawa padah kerana The Red Giant bijak memanfaatkan setiap peluang terhidang yang dimiliki mereka.

"Mereka (Selangor FC) ketika ini berada dalam mood kecewa setelah tumpas menentang PDRM, saya yakin mereka datang ke Kota Bharu dengan azam tinggi untuk mendapatkan kemenangan.

"Jadi saya akan pastikan semua pemain berwaspada ancaman daripada jentera serangan skuad kendalian Tan Cheng Hoe," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, skuad Sang Kijang Hijau akan sedaya upaya memberikan cabaran, seterusnya cuba mendapatkan tiga mata penuh.

"Kami turun sebagai 'underdog' tapi menjangkakan saingan sengit pada perlawanan itu.

"Berbekalkan kemenangan pada perlawanan terakhir, kami sangat dahagakan tiga mata penuh lebih-lebih lagi kami beraksi di laman sendiri," katanya.

Sementara itu, mengulas barisan pemain yang akan dipertaruhkan nanti, Nazrulerwan berkata, pihaknya ketika ini sedang memantau dua atau tiga pemain yang cedera, namun dijangka tiada perubahan besar-besaran dalam kesebelasan utama pasukan.

"Pastinya kami sudah mengenal pasti beberapa kelemahan dari pasukan Selangor," katanya.