Sanusi eloklah bersederhana kritik PM - Hassan

Hassan
Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digesa bersederhana dalam ucapan berhubung kritikan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang isu kemiskinan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, dakwaan tersebut kurang tepat kerana beliau menyaksikan tindakan Anwar membantu pesawah miskin selepas bergelar pemimpin negara.

“Menurut Sanusi, Anwar tidak tahu tentang kemiskinan kerana Anwar bukan dari keluarga miskin dan bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sebuah sekolah elit.

“Adakah Sanusi sudah lupa bahawa antara tindakan awal Anwar sebagai Perdana Menteri ialah berbincang dengan Tan Sri Syed Mokhtar, tuan punya syarikat Bernas yang memiliki permit import (AP) agar mengimport beras supaya memulangkan sebahagian daripada keuntungannya bernilai RM100 juta untuk membantu pesawah-pesawah miskin,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sanusi sebagai seorang pemimpin tentu bersetuju bahawa tidak semestinya hidup miskin baru mengetahui erti kemiskinan.

Menurutnya, adalah lebih molek jika Sanusi menghulurkan tangan persahabatan dengan Perdana Menteri yang mengetuai Kerajaan Persekutuan.

“Sepatutnya kita (termasuk Sanusi) bersyukur dan terus berdoa kepada ALLAH supaya Perdana Menteri kita sekarang terus tabah dan istiqamah dalam memperjuangkan nasib rakyat miskin.

“Sejak Anwar masih muda... baru sahaja berumur dua puluhan, tetapi beliau telah memperjuangkan isu kemiskinan rakyat sehingga terpenjara selama dua tahun di bawah ISA,” katanya.