Bomba selamatkan tiga beranak sesat di Gunung Lambak

Anggota bomba menyelamat tiga beranak yang tersesat ketika mendaki Gunung Lambak, Kluang pada Isnin
Anggota bomba menyelamat tiga beranak yang tersesat ketika mendaki Gunung Lambak, Kluang pada Isnin
A
A
A

KLUANG - Tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak berdepan detik cemas selepas tersesat ketika mendaki Gunung Lambak, dekat sini pada petang Ahad.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Saiful Fadly Karim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.24 petang.

Susulan itu katanya, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah utiliti van dikejarkan ke tempat kejadian.

"Tiga mangsa berkenaan yang merupakan satu keluarga telah sesat beberapa jam semasa mendaki Gunung Lambak. Pencarian dilakukan pihak bomba bersama agensi lain dengan dibahagi kepada dua kumpulan.

"Pasukan penyelamat mengesan lokasi terkini mangsa menggunakan aplikasi Whatsapp pada jarak kira-kira 400 meter dari kaki gunung.

"Mangsa iaitu seorang lelaki dewasa, Loh Yeok Keong, 56, wanita dewasa, Lok Siew Koon, 53, dan kanak-kanak lelaki, Lok Hong Sheng,12, dijumpai dalam keadaan yang selamat pada jam 11 malam tadi pada jarak kira-kira 500 meter dari Basecamp Talula Hill Resort," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pihak bomba memeriksa keadaan mangsa dan membawa turun mereka ke 'base camp' sebelum menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambah Saiful Fadly, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tamat pada jam 12.23 tengah malam.