APG 2023: Atlet renang, olahraga sumbang 8 emas hari ini

Atlet olahraga para negara yang berjaya membawa dua pingat emas, empat perak dan dua gangsa untuk acara olahraga di Stadium Nasional Morodok. - Foto Bernama
Atlet olahraga para negara yang berjaya membawa dua pingat emas, empat perak dan dua gangsa untuk acara olahraga di Stadium Nasional Morodok. - Foto Bernama
A
A
A

KONTINJEN Malaysia ke Sukan Para ASEAN (APG) 2023 hari ini tidak mengecewakan apabila meraih lapan emas, enam perak dan tiga gangsa di bumi Kemboja.

Enam daripada lapan pingat emas itu diperoleh daripada aksi cemerlang kem renang para pada hari pertama pertandingan di Pusat Akuatik, Stadium Morodok Techo, yang menyaksikan tiga daripada mereka mencipta rekod baharu kejohanan.

Pingat emas itu disumbangkan Mohd Adib Iqbal Abdullah menerusi acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB14 (kecacatan intelektual), Carmen Lim (100m kuak dada wanita SB8 - kecacatan fizikal) dan Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan (50m kuak lentang S14 - kecacatan intelektual).

Mereka juga berjaya memecahkan rekod baharu pada edisi ke-12 ini.

Tiga lagi pingat emas diperoleh menerusi Abd Halim Mohammad yang menyandang gelaran juara bagi dua kategori iaitu 100m kuak dada SB8 (kecacatan fizikal) dan 100m gaya bebas S8 (kecacatan fizikal) manakala Fraidden Dawan menerusi acara 400m gaya bebas S10 (kecacatan fizikal).

Selain itu, dua perak diperoleh daripada Duran Yaspi menerusi acara 50m kuak lentang S14 (kecacatan intelektual) dan Rusdianto Rusmadi pada acara 400m gaya bebas S8 (kecacatan fizikal) manakala satu gangsa oleh Carmen Lim menerusi 100m gaya bebas wanita S7-8 (kecacatan fizikal).

Bagaimanapun situasi berbeza apabila skuad olahraga yang sinonim dengan acara ‘lubuk emas’ sekadar meraih dua pingat emas, empat perak dan dua gangsa pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Morodok Techo hari ini.

Pingat emas itu menerusi Muhamad Ashraf Muhammad Haisham melalui acara 5,000 meter lelaki T46 (kecacatan fizikal) dan Nani Shahiera Zawawi pada acara lompat jauh wanita T20 - masalah pembelajaran.

Semalam, Malaysia memperoleh pingat perak menerusi acara badminton berpasukan lelaki dan satu pingat gangsa menerusi bola keranjang berkerusi roda menjadikan pingat Malaysia kepada lapan emas, tujuh perak dan empat gangsa sekali gus berada pada kedudukan keempat hari ini.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebelum ini menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada edisi Kemboja.

Esok, Malaysia akan meneruskan misi memburu emas pada temasya dwitahunan itu. - Bernama