Jurukamera Channel NewsAsia maut nahas

Mangsa maut dilokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah. - Foto Ihsan polis Bentong
Mangsa maut dilokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah. - Foto Ihsan polis Bentong
A
A
A

BENTONG - Seorang jurukamera Channel NewsAsia maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 43, Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur menghala ke Kuala Lumpur, jam 12 tengah hari, pada Ahad.

Dalam kejadian itu, mangsa Khairul Azman Zainuddin, 45, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, seorang penunggang sebuah lagi motosikal berusia 46 tahun dan pemboncengnya hanya mengalami cedera ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Bentong.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggangi mangsa menuju ke Kuala Lumpur.

"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian motosikal mangsa telah hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan lalu tercampak ke seberang jalan.

"Keadaan itu menyebabkan sebuah lagi motosikal dari arah Kuala Lumpur menuju ke Bentong tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

Sehubungan itu, Zaiham meminta kerjasama daripada mana-mana pihak yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan.

"Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2222222," katanya.