Lebih 400 waris libat lima generasi Awang Senik Kali berhimpun

Antara waris keluarga Awang Senik yang berhimpun dalam program diadakan di pekarangan Masjid Kuala Kaung dekat Lanchang pada Sabtu.
Antara waris keluarga Awang Senik yang berhimpun dalam program diadakan di pekarangan Masjid Kuala Kaung dekat Lanchang pada Sabtu.
A
A
A

TEMERLOH - Selepas 17 tahun, waris keluarga Awang Senik Kali mengadakan pertemuan semula menerusi program Jalinan Silaturahim Keluarga Rumpun Awang Senik di sini pada Sabtu.

Berlangsung di pekarangan Masjid Kuala Kaung, dekat Lanchang, lebih 400 waris terdiri sembilan anak Allahyarham Awang Senik dan Allahyarhamah Wan Rokiah Busu membabitkan lima generasi bermula cucu, cicit, piut dan seterusnya berhimpun dalam program tersebut.

Pengerusi program, Hasnuddin Hussain memberitahu, kali terakhir program sama diadakan pada 2006.

Hasnuddin
Hasnuddin

Menurutnya, program itu berjaya menghimpunkan waris keluarga dari seluruh negara termasuk dari Kuala Lumpur, Johor, Perak, Melaka serta Pahang sendiri.

"Selepas beberapa kekangan sebelum ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun ini kita berjaya menghimpunkan waris keluarga ini.

"Syukur kerana program hari berjalan lancar dan kita merancang untuk melakukan perjumpaan semula tiga tahun sekali selepas ini," kata bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin itu lagi.

Ujar beliau, setiap keluarga menyumbangkan wang tunai selain membawa potluck untuk memeriahkan lagi program tersebut.

"Selain makan beramai-beramai, antara aktiviti yang dijalankan termasuk tahlil serta kutipan tabung untuk menaik taraf kubur Allahyarhamah Wan Rokiah, sumbangan untuk cucu cicit serta berjemaah solat zohor sebelum pulang ke rumah masing-masing," tambah Hasnuddin.

Sabariah
Sabariah

Bagi Sabariah Mat Seh, 77, pertemuan itu merupakan detik yang ditunggu-tunggu kerana berpeluang berjumpa semula waris yang berada jauh dari Pahang khususnya.

"Harapnya umur panjang, sihat dan dapat sertai program sama selepas ini," tambah Sabariah.

Siti Junaidah
Siti Junaidah

Sementara itu, Siti Junaidah Abdul Wahid, 49, turut meluahkan rasa gembira dan menyifatkan program berkenaan sebagai platform terbaik buat waris keluarga tersebut bertentang mata dan menjalinkan silaturahim.

"Ramai juga yang tidak dikenali, jadi dengan program ini saya dapat mengetahui siapa waris keluarga ini dengan lebih rapat," jelas Siti.