'Ulat' pujuk pelancong Perancis di KLIA2 ditahan

JPJ menahan sebuah kenderaan jenis Proton Exora yang dipandu lelaki tempatan kerana dipercayai menawarkan khidmat 'ulat' kepada pelancong di KLIA2, Sepang Khamis lalu. - Foto: JPJ Selangor
JPJ menahan sebuah kenderaan jenis Proton Exora yang dipandu lelaki tempatan kerana dipercayai menawarkan khidmat 'ulat' kepada pelancong di KLIA2, Sepang Khamis lalu. - Foto: JPJ Selangor
A
A
A

SEPANG - Tidak menentukan kadar tambang dan hanya perlu membayar selepas tiba di destinasi antara taktik 'ulat' yang menawarkan khidmat kereta sewa tidak berlesen kepada pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Khamis.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, hasil intipan pihaknya berjaya menahan seorang pemandu Proton Exora berusia 30-an.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki tempatan itu telah memujuk, merayu dan menawarkan khidmat kereta sewa haram kepada dua pelancong warga Perancis.

"Kadar tambang yang dikenakan kepada pelancong itu dari Terminal KLIA2 ke Kuala Lumpur belum ditentukan dan hanya perlu dibayar apabila sampai di destinasi.

"Susulan itu, JPJ telah menahan pemandu terbabit selain kenderaannya turut disita," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Tambahnya, sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) akta yang sama.

"Justeru, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA atau KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

"Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari masa ke masa selain tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu serta pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram," ujarnya.

Tambahnya, untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.