Quranic Solution rungkai isu ummah

WUIF mengajak orang ramai untuk mengikuti Quranic Solution bermula 3 Jun ini.
WUIF mengajak orang ramai untuk mengikuti Quranic Solution bermula 3 Jun ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak orang ramai untuk mengikuti Quranic Solution, program bual bicara yang membongkar pelbagai masalah ummah dengan panduan solusi menerusi al-Quran dan Sunnah bermula 3 Jun ini.

Ketua Pegawainya, Marhaini Yusoff berkata, Quranic Solution pada musim pertama membawa misi #SavingFamilies dalam membongkar pelbagai isu keluarga dalam masyarakat yang memerlukan formula al-Quran sebagai solusi kepada orang awam.

Menurut beliau, Quranic Solution berbeza dengan wacana al-Quran yang misinya lebih meluas dalam pelbagai aspek kehidupan dalam membina ekosistem Islam dan fokus awalnya kepada isu ekonomi.

Marhaini
Marhaini

“Pendekatan bual bicara yang lebih berani iaitu menekankan soalan-soalan yang lebih sensitif dan menjadikan al-Quran sebagai solusi utama dalam semua permasalahan yang dibincangkan.

“Golongan sasaran bagi program Quranic Solution ialah orang awam hingga para pembuat dasar, terutamanya mereka yang menghadapi cabaran dan dahagakan panduan dan formula al-Quran.

“Kami mengundang panel daripada kalangan pentadabbur, qari serta pakar dalam bidang masing-masing dari pelbagai organisasi untuk mengupas topik yang dibincangkan.

“Rakan sinergi program ini adalah Sinar Harian dan kami juga menawarkan program ini di bawah agenda konten wakaf kepada semua stesen TV secara mingguan,” katanya.

Marhaini memberitahu, personaliti TV, Finaz Yunus dipilih sebagai hos Quranic Solution berdasarkan pengalaman beliau sebagai penerbit dan hos yang banyak menerbitkan program bual bicara secara dinamik.

Poster Quranic Solution.
Poster Quranic Solution.

Sementara itu, Finaz berkata, program selama satu jam itu bertujuan memperkasakan al-Quran dalam jiwa Muslim dan membongkar pelbagai masalah ummah yang akan dipandu solusi menerusi al-Quran dan Sunnah.

“Program bual bicara tersebut diharapkan dapat memberi kesedaran bahawa setiap permasalahan di dunia ini sudah ada solusi dalam al-Quran,” katanya.

Jelasnya, antara isu yang akan dibincangkan adalah isu-isu masyarakat seperti harta sepencarian, tanggungjawab lelaki dalam keluarga, penjagaan anak yatim, isu murtad, LGBT dan isu perundangan.

Program berkenaan akan disiarkan setiap Sabtu, jam 9 malam di platform digital Facebook Quranic Solution dan YouTube My #QuranTime Official.