Bangunan SMK Tun Ismail, Parit Raja terbakar

Anggota bomba memadam kebakaran bangunan STI, Parit Raja pada malam Rabu. - Foto JBPM
Anggota bomba memadam kebakaran bangunan STI, Parit Raja pada malam Rabu. - Foto JBPM
A
A
A

BATU PAHAT - Sebuah blok di tingkat atas bangunan dua tingkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Ismail atau STI di Parit Raja di sini musnah dalam kebakaran pada malam Rabu.

Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Mohamad Shamin Salikin berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada jam 9.52 malam.

Menurutnya, dua jentera FRT, satu water tanker dan satu jentera EMRS dari BBP Ayer Hitam dan BBP Penggaram dengan kekuatan seramai 16 anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran melibatkan dua buah kelas, pejabat, bilik pengetua dan tandas.

"Anggota bertindak memadam kebakaran menggunakan sumber air dan pili bomba.

"Operasi terkawal pada jam 10.30 malam dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.