Padah pukul bekas isteri

Syazwan Izzuddin (dua, kiri) didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.
Syazwan Izzuddin (dua, kiri) didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Duda berusia 30 tahun didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis, selepas mengaku bersalah mencederakan bekas isteri di hadapan sebuah klinik pada tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman memutuskan hukuman itu terhadap Syazwan Izzuddin Samsudin,30, yang membuat pengakuan berkenaan bagi pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, dia didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Norfarhana Azlin Azman, 24, yang ketika itu merupakan isterinya dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan di bahagian kiri muka, lengan, leher dan badan.

Kesalahan itu dilakukan di kaki lima hadapan pintu masuk Klinik Famili Taman Cempaka, kira-kira jam 10 malam, di sini, pada 14 Ogos 2022.

Kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Difahamkan kejadian disebabkan salah faham antara tertuduh dengan mangsa kerana berebutkan anak dan ketika itu anak mereka dipercayai tidak sihat dan tertuduh ingin membawanya ke klinik, namun dihalang oleh mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Peguam Haslinda Abu Bakar memohon hukuman ringan diberikan kerana ia merupakan kesalahan pertama dan menyara anak serta ibu dengan gaji sebagai pekerja kilang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut.