Kematian Kok Thiam diklasifikasi mati mengejut - Polis

Gambar kecil: Hussein Omar Khan
Gambar kecil: Hussein Omar Khan
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengklasifikasi kematian ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Jho Low iaitu Kee Kok Thiam sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kematian Kok Thiam, 56, disebabkan faktor kesihatan.

"Kes ini polis siasat sebagai SDR (mati mengejut) dan tiada unsur jenayah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Rabu, Firma Guaman Valen, Oh & Partners dalam satu kenyataan ringkas berkata, anak guam mereka meninggal dunia pada Isnin di sebuah hospital akibat strok.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Kok Thiam telah dihantar pulang dari Macau kerana tinggal lebih masa visanya.

Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 3 pagi pada 3 Mei dan diarahkan untuk pergi ke Ibu Pejabat SPRM pada jam 10 pagi hari yang sama.

Al Jazeera pada Selasa melaporkan bahawa Kok Thiam memberitahu SPRM dia telah bertemu Jho Low dan buruan kes 1MDB lain termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal Ariff Kamil di Macau.