Petugas kesihatan terkandas lebih 10 jam

No Image Caption
A
A
A
GUA MUSANG - Tiga kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) yang dilaporkan terkandas lebih 10 jam di Kampung Serasah, Pos Bihai, di sini kerana masalah jalan rosak dan hujan lebat berjaya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat, malam tadi.

Mereka ialah Rusdi Nor, 57, Abdul Basir Ahmad, 48, dan Mohd Ruswadi Ab Hamid, 38, dibawa keluar kira-kira pukul 11 malam dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan.

Tiga kakitangan JKNK itu dipercayai mengadakan program di Pos Bihai beberapa hari sebelum itu dan tidak dapat keluar berikutan jalan berlumpur dan kenderaan tersekat di lokasi sebelum membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Pasukan penyelamat yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kemudiannya bergegas ke lokasi dengan empat kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Penguasa Bomba Anuar Abas berkata pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu pada 6 petang dan tiba ke lokasi 8.30 malam dengan meredah jalan berlumpur.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, pasukan penyelamat itu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Hasri Hussin memberi bantuan segera terhadap ketiga-tiga mangsa kerana ada yang cedera dan keletihan disebabkan terlalu lama terkandas.

Katanya, mereka dipapah menaiki kenderaan untuk dibawa keluar dan tiba di bandar ini dengan selamat pada pukul 11 malam.

"Ini adalah kes terkandas yang pertama dilakukan pasukan penyelamat pada musim tengkujuh dan semua laluan ke perkampungan Orang Asli mengalami kerosakan teruk," katanya. - Bernama