Usaha selesai masalah rakyat

Program Townhall Rakyat bersama Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman berlangsung di Auditorium Sinar Harian pada Isnin. -Foto: Sinar Harian /Asril Aswandi Shukor
Program Townhall Rakyat bersama Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman berlangsung di Auditorium Sinar Harian pada Isnin. -Foto: Sinar Harian /Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - Program Town Hall Rakyat edisi keempat yang menampilkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub mendapat sambutan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini pada Isnin malam.

Program yang berlangsung pada jam 8.30 malam itu melibatkan sesi soal jawab antara Salahuddin bersama dengan penonton mengenai pelbagai isu termasuk kawalan barangan, kepenggunaan dan kos sara hidup tinggi serta usaha kerajaan dalam menangani masalah tersebut.

Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh selebriti, Azhar Sulaiman itu merupakan platform interaktif untuk rakyat bersemuka dan bertanya pelbagai isu kepada pemimpin yang diundang.

Program anjuran Sinar Harian yang terbuka kepada orang ramai itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDN, Datuk Roziah Abudin; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDN, Datuk Roszanina Wahab; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Nor Azimah Abdul Aziz dan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

Turut hadir Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

Pada 6 Mac, program Town Hall Rakyat memulakan siaran edisi pertamanya menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Program berkenaan kemudiannya diteruskan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu, pameran daripada agensi-agensi di bawah KPDN diadakan bagi memberi lebih banyak informasi kepada orang ramai.

Antara agensi terlibat ialah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bagi MyIPO, antara aktiviti diadakan seperti membuat pameran khidmat nasihat berkenaan harta intelek, risalah komponen harta intelek, kuiz harta intelek berserta hadiah selain pengenalan kepada Program Dana Harta Intelek untuk industri kecil dan sederhana (IKS).

MyCC pula mempamerkan bahan terbitan tentang fungsi suruhanjaya tersebut.

Selain itu, SSM mengadakan pameran untuk memberi lebih pendedahan kepada pengunjung mengenai peranan dan fungsi agensi-agensi di bawah KPDN, selain pendaftaran perniagaan, pengaktifan ID EzBiz serta skim pendaftaran percuma untuk B40 dan pelajar.