Penganggur tak serik, ditahan lagi proses dadah

Kok Chin (kiri) menunjukkan heroin yang dirampas daripada suspek.
Kok Chin (kiri) menunjukkan heroin yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Gaya hidup mewah seorang penganggur membongkar kegiatan lelaki itu yang tidak serik-serik memproses dadah selepas dia ditahan sekali lagi dalam satu operasi di Seberang Jaya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek lelaki berusia 40 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di hadapan sebuah rumah sewa di Seberang Jaya pada jam 10.30 malam, 25 Mei lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati, suspek telah menjadikan kediaman kakaknya itu untuk memproses dadah sejak tahun lalu.

"Suspek telah menjalankan kegiatan memproses dadah di rumah kakak dan abang iparnya yang juga orang kurang upaya (OKU).

"Suspek tidak tinggal bersama kakak dan abang iparnya sebaliknya menyewa rumah lain yang berdekatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Beliau berkata, serbuan di rumah kakak suspek menjumpai pelbagai peralatan dan bahan memproses dadah disyaki heroin.

"Selepas menjalankan pemeriksaan di rumah kakak suspek, kita memeriksa pula sebuah kereta Perodua Alza yang diparkir di kawasan terbuka yang terletak kira-kira 600 meter dari rumah itu.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut kita menjumpai satu peket plastik lut sinar mengandungi dadah heroin seberat 7,400 gram yang bernilai RM61,420.

"Selepas itu, kita memeriksa rumah sewanya dan menyita wang tunai bernilai RM5,050, namun tiada dadah ditemui. Di rumahnya juga, kita menyita sebuah kereta Honda Accord milik suspek," katanya.

Kok Chin (kanan) menunjukkan kereta yang digunakan suspek untuk menyembunyikan dadah.
Kok Chin (kanan) menunjukkan kereta yang digunakan suspek untuk menyembunyikan dadah.

Suspek dipercayai memperoleh bekalan dadah tersebut dari negara jiran dan belajar memproses dadah daripada Youtube.

Ujar beliau, jumlah nilai keseluruhan dadah dan sitaan adalah RM86,470.

"Kita masih menyiasat sama ada suspek bergerak sendiri atau mempunyai rakan penjenayah yang lain. Suspek mula terlibat dalam kegiatan dadah sejak 2006 dan ditahan kali terakhir untuk kesalahan memproses dadah pada 2017.

"Dia bagaimanapun dibebaskan pada tahun lalu, namun tidak serik apabila masih menjalankan kegiatan memproses dadah untuk dijual kepada pelanggannya. Suspek direman tujuh hari sehingga 1 Jun untuk siasatan lanjut.

"Kakak dan abang iparnya mengetahui kegiatan suspek namun tidak terlibat. Oleh itu, mereka kini dijadikan saksi utama kes ini," katanya.

Kok Chin berkata, suspek mempunyai 12 rekod dadah dan ujian saringan air kencingnya positif dadah.

"Kesemua dadah tersebut boleh digunakan oleh 37,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.