Terjerat scammer kerana takut

Foto 123RF. (Gambar kecil: Ramli)
Foto 123RF. (Gambar kecil: Ramli)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Faktor psikologi dan takut ketika berdepan panggilan palsu berkaitan isu keselamatan menjadi faktor individu terjerat sebagai mangsa penipuan Macau Scam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, apa yang perlu diketahui ialah tiada panggilan sedemikian dibuat oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, dalam pihak polis memberi kesedaran kepada orang ramai, masih ada lagi terperangkap dengan Macau Scam ini.

"Punca utama yang menjadi keadaan ini adalah faktor psikologi di mana penerima panggilan ini kebanyakan takut akan keadaan yang berhadapan dengan isu keselamatan, tangkapan polis dan sebagainya.

"Tapi yang mereka perlu ketahui, tiada panggilan sedemikian yang dibuat pihak polis, pihak bank, kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya.

"Paling malang ada sesetengah mangsa sanggup membuat pinjaman bank untuk membayar kepada scammer dan perlu membayar juga semula pinjaman kepada bank," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah Ramli, dalam pihaknya hendak memberi kesedaran kepada masyarakat, tetapi lebih ramai yang tidak sedar atau mudah terganggu emosi dengan panggilan sedemikian.

Katanya, modus operasi Macau Scam masih sama iaitu menerima barang terlarang atau panggilan percuma dan sebagainya.

"Nasihat saya, usah dilayan dari awal sekiranya menerima panggilan sedemikian," ujarnya.

Antara kes Macau Scam yang dilaporkan Sinar Harian pada 1 April lalu ialah seorang guru wanita berusia 51 tahun yang kerugian RM250,000 akibat diperdaya sindiket yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis.

Selain itu, memetik laporan pada 5 Februari lalu, Wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik seorang wanita berusia 56 tahun berjumlah RM141,000 lesap sekelip mata selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Pada 27 Mei, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang juga kakitangan kerajaan kerugian RM852,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket menggunakan taktik panggilan telefon yang menyamar pegawai insurans, pegawai mahkamah dan polis.