Istiwa’ A’dzam: Orang ramai manfaat peluang semak arah kiblat

Izz Harraz Izqandar bersama adiknya Izz Husayn Izqandar melihat arah bayang matahari dari jam matahari di Kiblat Walk bagi melihat arah kiblat dengan menggunakan kaedah Istiwa Adzam iaitu kaedah bayang matahari ketika matahari atas Kaabah hari ini pada jam 5.18 petang. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh negara memanfaatkan peluang untuk menyemak ketepatan arah kiblat di lokasi masing-masing susulan fenomena Istiwa’ A’dzam pada 5.18 petang Ahad.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Unit Falak) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Muhammad Saidul Marjuni berkata, Istiwa’ A’dzam adalah fenomena yang berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei (5.18 petang) dan 16 Julai (5.26 petang) apabila kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah di Makkah yang menjadi kiblat umat Islam ketika mendirikan solat.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Unit Falak) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Muhammad Saidul Marjuni (kanan) dan Pembantu Hal Ehwal Islam (Unit Falak) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Mohd Mustaqim Mohamed (kiri) melakukan kerja semakan arah kiblat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - Foto Bernama

“Bayang yang dihasilkan oleh matahari pada ketika itu (masa yang ditetapkan pada kedua-dua tarikh tersebut), betul-betul tepat menghala ke arah kiblat.

“Kami sarankan umat Islam supaya memastikan ketepatan arah kiblat di rumah masing-masing agar kita dapat beribadah dengan lebih tepat dan sempurna,” katanya kepada pemberita selepas mendemonstrasikan kaedah menyemak arah kiblat kepada pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia di sini pada Ahad.

Muhammad Saidul menerangkan kepada pengunjung di sini bagaimana arah kiblat boleh ditentukan berdasarkan arah bayang menggunakan beberapa objek yang lazimnya mudah didapati di rumah seperti benang, kertas dan batang penyapu atau apa-apa objek tegak.

Timbalan Ahli Falak Negeri Selangor, Sukiman Sangat, 62, menggunakan alat teknologi terkini dan rujukan terpiawai bagi menentukan arah kiblat yang tepat pada program falak anjuran Masjid Al-Khairiyah Gombak sempena peristiwa Istiwa A'dzam pada Ahad. - Foto Bernama

Di PULAU PINANG, Jabatan Mufti negeri telah mengeluarkan surat pekeliling kepada semua masjid untuk membuat semakan arah kiblat sempena fenomena Istiwa’ A’dzam susulan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Penolong Mufti Kanan (Falak) Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Muhammad Haniff Baderun berkata, sebanyak 33 masjid telah membuat semakan dan masih terdapat lebih 174 masjid yang perlu melakukan semakan semula arah kiblat hari ini terutama masjid yang dibina sebelum 1990-an.

Di SABAH, cuaca cerah di kebanyakan tempat pada petang ini membolehkan orang ramai di negeri di bawah bayu itu membuat semakan arah kiblat di rumah masing-masing.

Antara yang berkongsi pengalaman adalah Imam Masjid Ar-Akmar di Kota Kinabalu, Mohd Muslihin Tamin, 64, yang berkata, beliau bersama ahli jawatankuasa masjid telah memberitahu kepada ahli kariah masjid tentang fenomena Istiwa' A'dzam sejak minggu lepas.

Deiryll Jonisan, 27, seorang guru dari Gayang, Tuaran pula berkata, dia teruja dengan fenomena hari ini kerana membolehkan dirinya memeriksa arah kiblat yang sebelum ini dilakukannya dengan hanya menggunakan aplikasi telefon pintar.

Di SARAWAK, cuaca terik di sekitar Bintulu yang terletak di wilayah tengah negeri itu memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan fenomena Istiwa’ A’dzam di Pusat Falak Bintulu.

Menurut Ketua Penolong Mufti Bahagian Falak di Jabatan Mufti Sarawak, Razalie Hussaini, kira-kira 50 orang menyaksikan fenomena itu terdiri daripada pegawai pusat falak, pegawai jabatan mufti serta wakil masjid dan surau di sekitar Bintulu.

Sementara itu, keadaan cuaca yang tidak mengizinkan di beberapa negeri menyukarkan usaha untuk menyemak semula arah kiblat.

Di KELANTAN, usaha beberapa jemaah dari Masjid Haji Mohamad Nor, Blok Pasir Puteh, Mengkebang di Kuala Krai tidak berhasil apabila cuaca mendung menyebabkan tiada bayang kelihatan di kawasan lapang berhampiran masjid tersebut.

Imam masjid itu, Mohd Solleh Mohamad berkata, segala persiapan telah dilakukan para jemaah awal pagi tadi kerana tidak mahu melepaskan peluang melihat fenomena Istiwa' A'dzam hari ini.

Di JOHOR pula, cuaca mendung dan berawan menyebabkan bayang yang digunakan bagi menentukan arah kiblat tidak kelihatan jelas.

Ahli Kelab Astronomi Johor, Azfanizam Abdul Aziz, 41, berkata, meskipun bayang hanya kelihatan sedikit tepat 5.18 petang tadi, namun ia tetap boleh digunakan sebagai panduan arah kiblat dengan menggunakan peralatan mudah iaitu objek tegak seperti sebatang pensel. - Bernama