Peruntukan RM2.1 bilion atasi kesesakan Lebuhraya Karak

Kerajaan luluskan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion untuk menaik taraf Lebuhraya Karak bagi mengatasi masalah kesesakan terutama pada musim perayaan. - Foto Bernama (Gambar kecil: Abdul Rahman)
Kerajaan luluskan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion untuk menaik taraf Lebuhraya Karak bagi mengatasi masalah kesesakan terutama pada musim perayaan. - Foto Bernama (Gambar kecil: Abdul Rahman)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM2.1 bilion untuk menaik taraf Lebuhraya Karak dengan melebarkan lorong dan membina terowong tambahan bagi mengatasi masalah kesesakan yang dialami pengguna terutama pada musim perayaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerja-kerja pembinaan akan dilakukan oleh pemegang konsesi lebuh raya berkenaan bermula Julai ini dan dijangka siap pada 2027.

"Terdapat kira-kira dua juta kenderaan yang menggunakan laluan tersebut untuk pulang sama ada ke Kelantan dan Terengganu pada musim cuti perayaan.

"Dengan pelebaran lorong dan pembinaan terowong baharu kita jangka masalah kesesakan yang sering dialami di lebuh raya itu akan diatasi.

"Setakat ini Anih Berhad telah mengeluarkan tender untuk kerja-kerja pembinaan yang akan dilaksanakan di sepanjang lebuh raya itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (PKMMT) pada Ahad.

Hadir sama, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan dan Yang Dipertua PKMMT, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerja-kerja penyelenggaraan laluan itu tidak digalakkan untuk dilaksanakan pada musim cuti perayaaan sebagai langkah mengurangkan masalah kesesakan jalan.

"Buat sementara waktu ini saya tidak galakkan LLM melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sepanjang musim cuti perayaan kerana ia akan mengganggu aliran trafik yang bergerak ke Pantai Timur," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!