PM zahir simpati pemergian wira negara Awang Askandar

Anwar berkongsi foto Allahyarham Awang Askandar (dua dari kanan) di Parlimen sebelum keberangkatannya ke Everest. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar berkongsi foto Allahyarham Awang Askandar (dua dari kanan) di Parlimen sebelum keberangkatannya ke Everest. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan simpati atas kehilangan wira negara Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia pada 19 Mei lepas sewaktu mendaki puncak tertinggi di dunia Gunung Everest.

Anwar menerusi ciapan di akaun Twitter berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat negara selain mengundang rasa pilu rakyat Malaysia.

"Saya sempat ketemu saudara Awang (Askandar) di Parlimen sebelum keberangkatannya ke Everest dan ternyata sikap serta semangat yang ditonjolkan amat mengujakan.

"Saya dan keluarga serta seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama golongan beriman selain kaum keluarganya diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menempuhi ujian ini,” katanya.

Awang Askandar, 56, yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, dilaporkan terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut sebelum disahkan meninggal dunia ketika hendak diberikan rawatan di Kem 4.

Jenazah peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni, Papar, Sabah pada 5.20 petang Sabtu. - Foto Bernama