Cake sokong pengeluaran gula putih bertapis jernih

Laporan Sinar Harian 25 Mei 2023. Mohamad Yusrizal (kanan).
Laporan Sinar Harian 25 Mei 2023. Mohamad Yusrizal (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyambut baik tindakan kerajaan membenarkan permohonan dua syarikat pengeluar gula untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih bermula Khamis lepas.

Presiden Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kebenaran pengeluaran produk baharu gula ini dilihat bagi memastikan bekalan gula sentiasa ada di pasaran bagi memenuhi permintaan pengguna.

Mohamad Yusrizal berkata, pengeluaran gula putih bertapis jernih itu akan menjadi alternatif kepada pengguna selain gula putih bertapis sedia ada seperti gula kasar.

"Bagi pengguna, mereka inginkan bekalan barangan keperluan asas seperti gula ini sentiasa ada, harga murah dan kualiti baik.

"Jadi, kita sambut baik pengeluaran produk baharu gula, cumanya harga produk itu belum diketahui," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mohamad Yusrizal berkata sedemikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan membenarkan pengeluaran gula bertapis jernih dari dua syarikat bermula Khamis.

Beliau berkata, harga gula putih bertapis jenis itu kemungkinan tidak akan dijual murah memandangkan ia ditentukan pasaran.

"Bagaimanapun, kita mohon supaya harga pasaran bagi gula putih bertapis jernih ini tidak terlalu melampau," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Yusrizal berkata, gula putih bertapis sedia ada yang dijual pada harga RM2.85 sekilogram perlu terus dikeluarkan bagi memastikan ia mencukupi di pasaran.

"Janganlah pula, apabila keluar produk baharu gula, gula putih bertapis sedia ada pula tidak ada di pasaran," katanya.

Katanya, tiada masalah untuk pengeluaran gula putih bertapis jernih, namun kuantiti semasa bekalan gula putih bertapis sedia ada yang dikeluarkan perlu dikekalkan ataupun ditambah.

Ketika diminta mengulas situasi bekalan gula di Kedah, beliau memberitahu, bekalan gula di kebanyakan tempat di negeri ini telah kembali pulih.

"Jadi, saya berterima kasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah yang berusaha keras bagi memastikan bekalan gula mencukupi di Kedah," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua syarikat pengeluar gula MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) dibenarkan untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih dengan harga produk baharu gula itu tidak dikawal oleh kerajaan sebaliknya ditentukan oleh pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, permohonan ini adalah sebahagian daripada pelan pemasaran syarikat-syarikat tersebut untuk terus kekal berdaya saing dan lestari.