Hanya Secure2u aplikasi MAE luluskan transaksi - Maybank

No Image Caption
A
A
A

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) mengumumkan pengesahan Secure2u akan dialihkan kepada aplikasi MAE mulai 1 Julai, 2023 bagi mempertingkatkan ciri sekuriti dalam talian untuk pelanggan bank.

Mulai tarikh itu, hanya Secure2u melalui aplikasi MAE yang akan digunakan untuk meluluskan kesemua transaksi yang dibuat melalui web Maybank2u, aplikasi M2U, aplikasi MAE dan transaksi dalam talian bagi kad Maybank.

Dalam kenyataan pada Jumaat, bank itu menjelaskan kaedah tunggal pengesahan melalui aplikasi MAE itu, yang terikat pada satu peranti bagi setiap akaun, merupakan langkah perlindungan tambahan memandangkan ia meminimumkan kemungkinan butiran perbankan dalam talian pelanggan terjejas atau digunakan oleh mana-mana pihak ketiga.

Pelanggan yang telah sedia menggunakan aplikasi MAE digalakkan untuk sentiasa mengemaskinikan aplikasi itu bagi memastikan mereka menggunakan versi terkini pada setiap masa, menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Datuk John Chong berkata, pihaknya komited untuk memerangi penipuan kewangan.

"Maybank komited dalam usaha ini dengan mempercepat pendigitalan dan pemodenan teknologi melalui peningkatan infrastruktur kami secara kerap dan sentiasa memperhalusi ciri keselamatan tawaran kami,” katanya.

Bank itu memaklumkan terdapat sekali tempoh pengaktifan 12 jam untuk pelanggan mengaktifkan Secure2u pada aplikasi MAE buat kali pertama atau pada peranti yang lain, dan dalam tempoh itu tiada transaksi yang memerlukan pengesahan Secure2u boleh dilakukan.

Langkah ini bertujuan menghalang kelulusan transaksi yang tidak dibenarkan dan memberikan perlindungan dipertingkatkan untuk pelanggan.

"Bagi memastikan proses yang lebih lancar semasa peralihan Secure2u kepada aplikasi MAE, Maybank menggesa pelanggan untuk berpindah kepada Secure2u secepat mungkin,” menurut Maybank.

Pada Februari, Maybank memperkenalkan Kill Switch pada aplikasi MAE dan laman web Maybank2u sebagai alat tambahan untuk melindungi dana pelanggan daripada penipuan dalam talian.

Ciri Kill Switch membolehkan pelanggan menyahaktifkan akses Maybank2u mereka buat sementara waktu dan menyekat penggunaan kad kredit mereka apabila mengesan sebarang transaksi yang mencurigakan, dan ciri ini akan ditambahkan tidak lama lagi dalam apllikasi MAE untuk pengguna kad debit Maybank pada Jun 2023. - Bernama