Golongan LGBT bukan pesakit mental

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil dari kiri: Fauziah, Mohamad Shukri
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil dari kiri: Fauziah, Mohamad Shukri
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak boleh dikategorikan sebagai pesakit mental kerana pengkelasan penyakit antarabangsa tidak mengiktiraf perkara itu.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, Persatuan Psikologi Amerika (APA) melalui Manual Diagnostik dan Statistik Penyakit Mental ke-5 (DSM-5) juga tidak mengiktiraf golongan itu sebagai pesakit mental.

Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan kebanyakan daripada kumpulan itu yang mendapatkan rawatan psikologi sememangnya mempunyai isu kesihatan mental seperti keresahan, kemurungan dan sebagainya disebabkan masalah penerimaan keluarga, masyarakat dan di tempat kerja.

“Sebelum kita kategorikan seseorang ini mempunyai penyakit, perlu buat diagnosis terlebih dahulu kerana kita tidak boleh terus klasifikasikan mereka tanpa melakukan sebarang saringan.

“Kita tidak boleh kategorikan mereka (golongan LGBT) mempunyai sakit mental tetapi misalnya kita ada data untuk buat saringan kesihatan mental dan lihat ada ciri-ciri, maka kita boleh lakukan DSM-5 untuk membolehkan mereka itu diletak dalam kategori mana.

“Jika kita letak LGBT ini sebagai pesakit mental, maksudnya kita telah melabel mereka (dengan persepsi negatif) tetapi dalam masa sama kita juga akur bahawa Malaysia mengamalkan konsep Islam dan sebenarnya agama-agama lain sekali pun tidak terima LGBT dalam masyarakat mereka,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat pada Selasa yang meminta supaya kerajaan menggolongkan LGBT sebagai pesakit mental.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, umat Islam diingatkan agar menghindari perilaku songsang tersebut kerana ia perbuatan mungkar dan dilaknati ALLAH.

“Kita sedia maklum hukum Islam melarang keras perbuatan keji ini kerana ia termasuk kategori penzinaan, apatah lagi dengan amalan songsang sebegini.

“Jadi, kita harap mana-mana umat Islam yang terjebak dengan perbuatan ini (LGBT) supaya kembali semua kepada ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cadangan supaya golongan berkenaan dikategorikan sebagai pesakit mental, Mohamad Shukri meminta supaya isu tersebut dibangkitkan kepada pihak yang selayaknya membuat ketetapan.

“Istilah ni sepatutnya kita dapatkan pandangan atau rujukan pihak hospital kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengklasifikasikan seseorang itu tanpa ada rujukan yang betul,” katanya.