Skuad Penyu tempang hilang dua tonggak

Steinbruckner. - Foto Agensi
Steinbruckner. - Foto Agensi
A
A
A

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengakui persiapan perlawanan Liga Super menentang Penang FC pada Rabu sedikit terjejas dengan kehilangan dua tonggak utama.

Menurut pengendali kelahiran Croatia itu, khidmat kapten pasukan, Habib Haroon terpaksa dilupakan setelah beliau digantung perlawanan susulan menerima tiga kad kuning pada perlawanan menentang Sabah FC, manakala Adisak Kraisorn pula dihantui masalah kecederaan belakang.

Justeru beliau memikirkan untuk membuat rombakan kecil bagi memastikan benteng skuad Penyu tidak dibolosi ketika melayan kunjungan Sang Badak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) itu nanti.

“Kami memulakan latihan sejurus pulang dari Sabah pada Jumaat lepas. Persediaan biasa... seperti selalu.

“Kami mungkin berdepan sedikit masalah kerana Habib digantung dan Adisak cedera... mungkin dua atau tiga minggu untuk dia pulih daripada kecederaan belakang,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus pada Isnin.

Dalam pada itu Steinbruckner mengingatkan pemainnya supaya berwaspada dengan empat pemain Penang FC yang dilihat mampu memberi ancaman kepada pasukan.

Ia termasuk dua bekas pemain skuad TFC iaitu Nik Akif Syahiran Nik Mat dan dua tonggak import, Soony Saad dan Adriano Narcizo yang perlu dikawal rapi supaya tidak bergerak bebas.

“Kita tahu Penang bermain secara fizikal (agresif) dan serangan terus. Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti, saya harap TFC mampu beraksi dengan baik dan mengutip mata penuh untuk berada di kedudukan terbaik (Liga Super),” katanya.

TFC ketika ini menghuni tangga kelapan Liga Super selepas mengutip 14 mata daripada 11 perlawanan dan diekori rapat Penang FC di kedudukan kesembilan dengan jumlah mata yang sama namun dibezakan dengan hanya satu jaringan. - Bernama