JDT tewaskan Kuching 4-0

Pemain JDT, Fernando Martin meraikan jaringan gol ketika menentang Kuching City FC pada saingan Liga Super di Stadium Negeri pada Jumaat. - Foto Bernama
Pemain JDT, Fernando Martin meraikan jaringan gol ketika menentang Kuching City FC pada saingan Liga Super di Stadium Negeri pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan Liga Super dengan menewaskan Kuching City FC 4-0, di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak, malam ini.

Kemenangan yang diraih pasukan kendalian Esteban Solari itu merupakan kemenangan ke-11 berturut-turut musim ini sekali gus membolehkan skuad Harimau Selatan memperkuatkan lagi cengkaman mereka di persada Liga Super.

Babak pertama menyaksikan penyerang sensasi kelahiran Argentina, Fernando Martin Forestieri meledak jaringan pembukaan pada minit ketiga, sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-36.

Separuh masa kedua menyaksikan Harimau Selatan terus ghairah untuk memburu jaringan, sebelum Bergson Da Silva menambah derita skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim dengan jaringannya pada minit ke-70, diikuti sepakan kencang dihasilkan Juan Muniz pada minit ke-72 dan kedudukan 4-0 itu, kekal hingga tamat perlawanan.

Sementara itu di Kota Kinabalu, pertembungan Sabah FC dan Terengganu FC menyaksikan kedua-dua pasukan seri 2-2 pada perlawanan di Stadium Likas, Sabah.

Sabah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-28 apabila Telmo Castanheira menanduk masuk bola sepakan percuma ketua pasukan Baddrol Bakhtiar, sebelum berjaya menggandakan jaringan melalui sepakan penalti menerusi penyerang Darren Lok, pada minit ke-37.

Sony Norde kemudian berjaya merapatkan kedudukan buat Sang Penyu pada minit ke-46, menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti, yang diberikan apabila Liridon Krasniqi dijatuhkan.

Babak kedua menyaksikan Norde menggagalkan usaha Sabah mendapat tiga mata penuh, selepas penyerang berasal dari Haiti itu menyempurnakan sepakan percuma di luar kotak penalti pada masa tambahan minit ke-94, selepas Jordan Mintah dijatuhkan. - Bernama