PM umum penubuhan Malaysia Centre For 4IR

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan penubuhan Pusat bagi Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (Malaysia Centre for 4IR), sebuah pusat bebas dalam ekosistem global Forum Ekonomi (WEF) yang akan menumpukan kepada dua keutamaan iaitu transformasi digital dan GovTech serta peralihan tenaga.

Beliau berkata, pusat itu merupakan yang pertama di rantau ASEAN yang bakal menjadi platform bagi pemimpin kerajaan dan perniagaan, ahli akademik dan pakar untuk mewujudkan hab inovasi dan kepakaran bagi memanfaatkan potensi teknologi baru muncul.

"Menjadi harapan saya agar pusat ini dapat mempercepat lagi transformasi Malaysia menjadi negara yang dipacu secara digital, berpendapatan tinggi, inklusif dan peneraju serantau dalam ekonomi digital,” katanya menerusi ucapan beliau yang dirakam terlebih dahulu pada pelancaran pusat itu di sini, hari ini.

Mengenai transformasi digital dan GovTech, Anwar berkata, pusat itu yang dihoskan oleh MyDIGITAL Corporation akan menumpukan kepada bidang untuk mempercepat fasa pertumbuhan seterusnya agenda transformasi digital Malaysia dan peranan yang boleh dimainkannya untuk memudahkan usaha bagi transformasi digital ASEAN.

Selain itu, katanya, pusat tersebut juga akan menyokong Dasar Tenaga Malaysia 2022-2040, untuk mengemudi peralihan tenaga dan pembangunan ekonomi hijau sambil mengimbangi isu seperti jaminan tenaga, kemampuan dan kemampanan alam sekitar.

Malaysia Centre for 4IR yang dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Presiden Forum Ekonomi Dunia, Børge Brende, menyertai komuniti 18 pusat seumpama itu di seluruh dunia.

Ia akan memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan ekonomi digital di Malaysia, dengan tumpuan untuk menyokong transformasi digital dan kemajuan dalam sektor yang berkembang pesat termasuk peralihan tenaga hijau.

Anwar berkata, menyedari potensi transformatif 4IR, WFE telah menubuhkan Pusat bagi 4IR sebagai platform untuk menyokong pemimpin bukan sahaja dalam merealisasikan manfaat trajektori teknologi yang sentiasa berkembang tetapi juga usaha kerajaan untuk rangka kerja dasar baharu, model tadbir urus tangkas dan peraturan fleksibel untuk merangsang inovasi sambil menyediakan keselamatan sosial dan perlindungan yang mencukupi kepada rakyat.

"Dengan lebih 60 inisiatif, 300 pakar dasar dan kerajaan serta lebih 450 inovator dan perintis teknologi yang tersedia dalam ekosistem tersebut, perkongsian ini adalah tepat pada masanya ketika Malaysia mengembangkan ekonomi digitalnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata, usaha mengembangkan ekonomi digital merupakan agenda penting bagi kerajaan.

"Pelan Tindakan dan Dasar Ekonomi Digital Malaysia untuk Revolusi Perindustrian Keempat telah digubal menggunakan pendekatan berpaksikan manusia bagi memastikan kita dapat memanfaatkan teknologi sambil memelihara nilai manusia, sosial dan budaya untuk kelestarian masa depan," katanya.

Anwar berkata, pelan tindakan itu selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang bertujuan untuk mengeksploitasi peluang yang potensi yang tersedia daripada 4IR dan mempersiapkan pembangunan sosioekonomi Malaysia bagi kemampanan dan kemakmuran jangka panjang, sejajar dengan komitmen kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kami berhasrat untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia di persada global, dan ditambah dengan nilai Malaysia Madani, saya yakin kami mampu mempercepat transformasi Malaysia ke arah ekonomi digital maju dengan mengukuhkan infrastruktur kami, memudahkan inovasi dan mewujudkan ekosistem bagi kita semua untuk meningkatkan taraf hidup yang lebih tinggi kepada semua rakyat Malaysia," katanya. - Bernama