Piala Sudirman: Malaysia tewaskan Australia 5-0

Zii Jia mudah menewaskan Ricky Tang 21-3,21-13. - Foto FB BAM
Zii Jia mudah menewaskan Ricky Tang 21-3,21-13. - Foto FB BAM
A
A
A

MALAYSIA tidak berdepan masalah untuk membenam cabaran Australia 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan C Piala Sudirman di Suzhou, China pada Ahad.

Beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai mengutip mata pertama negara selepas menewaskan Goh Kenneth Choo-Gronya Somerville 21-17 dan 21-14 dalam aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Suzhou itu.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk terus meletakkan Malaysia di hadapan selepas menewaskan Ricky Tang 21-3,21-13 dalam tempoh 25 minit.

K Letshanaa turut beraksi cemerlang untuk mengesahkan kemenangan skuad negara dengan menyumbang mata ketiga apabila menewaskan Tiffany Ho 21-19,21-12.

Beregu nombor tiga dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula hanya memerlukan 24 minit untuk menundukkan gandingan Rayne Wang-Jack Yu 21-7,21-14 sebelum beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah melengkapkan kemenangan ke atas Kaitlyn Ea-Gronya Somerville 21-12,21-13.

Seterusnya, skuad badminton negara dijadualkan menentang India pada Isnin sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Taiwan pada Rabu.

Hanya dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah meletakkan sasaran separuh akhir kepada skuad negara pada edisi kali ini.