Keluarga harap harimau serang Halim dapat ditangkap

Asin (kiri) bersama ahli keluarga kelihatan sugul ketika ditemui pemberita di Kampung Aring 5, Gua Musang pada Sabtu. - Foto Bernama
Asin (kiri) bersama ahli keluarga kelihatan sugul ketika ditemui pemberita di Kampung Aring 5, Gua Musang pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Ahli keluarga Halim Asin yang maut selepas dipercayai diserang harimau Selasa lepas, berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat menjejak dan menangkap binatang buas berkenaan.

Bapa mangsa, Asin Parang, 68, berkata, dia dan ahli keluarga semestinya sukar melupakan tragedi hitam yang meragut nyawa Halim, 27, anak keempat daripada enam beradik itu.

"Kalau ikutkan hati yang panas, saya mahu harimau itu juga mati kerana telah menyebabkan kematian anak.

"Banyak binatang lain dalam hutan untuk dimakan, tetapi manusia juga kena serang. Saya berharap harimau berkenaan pergi jauh dari kampung ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Aring 5, di sini.

Asin berkata, ahli keluarganya masih berkurung di dalam rumah sahaja ketika ini kerana trauma dengan kejadian serangan harimau yang berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kampung Aring 5.

Asin menunjukkan baju milik anaknya yang didakwa maut selepas diserang harimau, Selasa lalu. - Foto Bernama
Asin menunjukkan baju milik anaknya yang didakwa maut selepas diserang harimau, Selasa lalu. - Foto Bernama

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, hasil pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kesan gigitan pada leher mangsa dan anggota Perhilitan masih lagi berada di lokasi kejadian untuk membuat siasatan lanjut.

"Proses bedah siasat dilakukan di Hospital Gua Musang pada 11 pagi ini bagi mengetahui punca kematian mangsa.

"Kami masih menunggu laporan punca kematian mangsa sama ada disebabkan serangan haiwan liar atau sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Halim menjadi mangsa serangan harimau ketika memancing bersama anak saudaranya Alang Kuang yang berusia lapan tahun di hulu Sungai Aring.

Semalam, mayat Orang Asli suku kaum Bateq itu ditemukan oleh pasukan penyelamat pada jam 5.10 petang dalam keadaan terlungkup dan tersangkut pada tunggul kayu di di Kuala Sungai Tunggul pada jarak kira-kira dua kilometer (km) dari tempat kejadian. - Bernama