'OPR naik, tapi anjur rumah terbuka' - Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyindir kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) akan mendorong kerajaan berbelanja secara berhemat.

Menurut Ahli Parlimen Machang, kenyataan itu disifatkan sebagai ironi kerana hakikatnya kerajaan telah dilihat melakukan pembaziran dana menerusi penganjuran enam Rumah Terbuka Madani peringkat nasional.

“Itu belum campur lagi rumah terbuka kementerian, para pembesar negara Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dikepalai politikus kedua-dua gabungan itu yang kalah PRU15,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Baru-baru ini, Rafizi menyatakan bahawa kos rumah terbuka berkenaan adalah lebih murah berbanding menganjurkan jamuan Aidilfitri di Putrajaya kerana kehadiran dan tanggungannya yang lebih rendah.

Ujar beliau, kerajaan hanya menanggung belanja sepenuhnya bagi jamuan di Kedah, Kelantan dan Terengganu sementara Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dikendalikan kerajaan negeri.

Jelasnya, kritikan pembangkang terhadap isu tersebut hanya merupakan satu modal politik yang dibawa mereka.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal turut menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berikrar untuk tidak mahu membazirkan duit kerajaan dengan menganjurkan sebarang majlis keramaian.

“Dulu lepas angkat sumpah ikrar janji tak nak buat, tapi hari ini lain pula. Apa sebenarnya kamu nak buat untuk rakyat? Cakap biarlah lurus. Jangan tipu sana, tipu sini. Kamu janji lain, buat lain.

“Ini bukan sifat Madani!,” tegasnya.