BSI: MB Johor minta orang ramai lebih bertanggungjawab

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta orang ramai yang menggunakan bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) supaya lebih bertanggungjawab.

Ia susulan penahanan seorang lelaki berkelakuan jelik dipercayai membuang air kencing di tempat wuduk di CIQ BSI oleh polis pada petang Selasa.

"Saya sedia maklum berkenaan isu seorang lelaki yang berkelakuan jelik di tempat mengambil wuduk di CIQ BSI.

"Untuk makluman semua, suspek lelaki berusia 69 tahun itu telah ditahan sejurus kejadian selepas mendapat laporan petang semalam.

"Saya berharap agar kita semua lebih bertanggungjawab dan tidak melakukan perbuatan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam," katanya dalam muat naik di Facebook rasminya pada Rabu.

Pada Selasa, seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki berkelakuan jelik di tempat mengambil wuduk di CIQ BSI.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia 69 tahun itu ditahan sejurus kejadian selepas mendapat laporan pada jam 4.36 petang Selasa.

Ujarnya, permohonan reman akan dibuat pada Rabu di Mahkamah Johor Bahru dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, tular sebuah video berdurasi 10 saat menunjukkan seorang lelaki berdiri di tempat mengambil wuduk, dipercayai sedang membuang air kecil sebelum ditegur seorang lelaki lain mengenai perbuatannya itu.