Gurauan terakhir Maryam sebelum ulang tahun ketiga

Ruzwaniza sebak melihat foto kenangan Maryam yang dirakam sebelum ini.
Ruzwaniza sebak melihat foto kenangan Maryam yang dirakam sebelum ini.
A
A
A

GUA MUSANG - [DIKEMASKINI] Siapa sangka, gurauan pada malam sebelum kejadian adalah kenangan yang terakhir bagi ibu ini bersama anaknya.

Pagi semalam, ibu, Ruzwaniza Yaakob, 39, lemah terkulai apabila melihat anaknya, Raja Maryam Dalisha Raja Ismail, 3, maut apabila ditemui terlangkup di dalam bekas berisi air di bilik mandi kediamannya.

Menurut Ruzwaniza yang menetap di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini, anak kelimanya itu ditemui anak kedua, Auni Nabila, 12, pada jam 11.30 pagi di dalam bilik air berkenaan.

"Memang saya pelik sebab sejak dua tiga hari ini, Maryam suka bergurau. Malah, pada malam sebelum kejadian, dia bergurau dengan saya sampai terlelap.

"Tapi, saya tidak mengesyaki apa-apa, mungkin kerana dia gembira sebab bulan hadapan, ulang tahun kelahirannya yang ketiga.

"Saya masih tidak dapat menahan sebak bila mengingati Maryam kerana dia petah bercakap dan sempat makan sarapan pagi yang saya masak sebelum kejadian," katanya.

Tambah ibu enam anak ini, ketika kejadian, dia tidak menyedari anaknya itu berada di bilik air kerana sedang menyusukan bayi kecil.

"Saya baharu sahaja melahirkan anak, Raja Qayyum Farish, dua bulan lalu. Selepas masak untuk mereka, saya masuk bilik menyusukan anak dan suami, Raja Ismail Raja Idris, 37, keluar bekerja.

Artikel Berkaitan:

"Saya hanya tahu apabila anak saya mencarinya di bilik air dan Maryam ditemui sudah tidak bernyawa.

"Saya meminta jiran menghubungi suami dan membawa Maryam ke Hospital Gua Musang (HGM)," katanya lagi.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kesedar Sungai Asap, pada jam 10 pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 3 tahun lemas dalam tong air