Revolusi AI: Robot ganti manusia?

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

PERKEMBANGAN teknologi sentiasa mendorong manusia untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Sebelum ini, kebolehan menghafal nombor telefon dan mengingati tanda sesuatu tempat ketika melakukan sesuatu perjalanan dianggap sebagai ‘kemahiran hidup’ yang penting sebelum fungsi tradisional otak manusia diambil alih oleh telefon pintar dan aplikasi seperti Google Maps.

Trend tersebut semakin jelas pada hari ini apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin berinovasi. Lebih banyak tugas manusia akan diambil alih oleh teknologi digital dengan kewujudan AI generatif seperti ChatGPT yang semakin mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

Beberapa persoalan besar mula timbul tentang fungsi dan peranan manusia pada masa akan datang jika AI ‘bermaharajalela’. Antara yang sering menjadi tanda tanya adalah tentang impak AI terhadap aktiviti seharian manusia yang dikhuatiri akan menyebabkan mereka menjadi kurang produktif atau menyalahgunakan aplikasi chatbot tersebut.

Perintis AI, Geoffrey Hinton menerusi wawancara pada minggu lalu berpendapat, teknologi itu boleh mencetuskan ancaman ‘lebih mendesak’ kepada manusia berbanding fenomena perubahan iklim yang menyebabkan keadaan cuaca luar biasa sejak akhir-akhir ini.

Hinton yang mendapat julukan Godfathers of AI turut membuat keputusan berhenti daripada Alphabet Inc selepas berkhidmat selama sedekad.

Hasil kerja Hinton, 75, dianggap penting untuk pembangunan sistem AI kontemporari. Pada 1986, beliau menjadi penulis bersama kertas penyelidikan yang menyokong teknologi AI dan sebagai mengiktiraf kajiannya, Hinton dianugerahkan Turing Award pada 2018.

Kini, saintis komputer itu menyertai pemimpin teknologi lain yang secara terbuka menzahirkan kebimbangan tentang kemungkinan ancaman ditimbulkan oleh AI jika mesin mula mengawal dunia.

Teknologi AI adalah rangkaian saraf seperti sistem yang sama dengan otak manusia dengan cara ia belajar dan memproses maklumat. Paling membimbangkan apabila chatbot berupaya mengatasi tahap maklumat yang disimpan otak manusia.

Firma OpenAI disokong Microsoft yang menghasilkan ChatGPT melancarkan perlumbaan senjata teknologi pada November 2022.

Dalam tempoh singkat, chatbot itu menjadi aplikasi paling pesat berkembang dalam sejarah dengan mencecah 100 juta pengguna dalam tempoh dua bulan.

Bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Elon Musk menyertai ribuan individu menandatangani surat terbuka menggesa tempoh ‘berehat’ selama enam bulan dalam pembangunan sistem AI lebih berkuasa digelar GPT-4 yang dilancarkan OpenAI baru-baru ini.

Sementara itu, laporan bank pelaburan, Goldman Sachs mendakwa AI boleh menggantikan kira-kira 300 juta pekerjaan sepenuh masa, sekali gus mengambil alih satu perempat daripada tugasan di AS dan Eropah selain dijangka membuka peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan produktiviti.

Kandungan laporan itu juga menyatakan kesan AI adalah berbeza mengikut pelbagai sektor iaitu 46 peratus daripada tugas pentadbiran, 44 peratus profesion undang-undang, manakala hanya enam peratus dalam sektor pembinaan dan empat peratus dalam bidang penyelenggaraan.

Pengarah Masa Depan Kerja di Oxford Martin School, Oxford University, Carl Benedikt Frey berpendapat tiada cara untuk mengetahui jumlah atau jenis profesion yang akan digantikan oleh AI generatif.

“Apa yang dilakukan ChatGPT membolehkan lebih ramai orang yang kurang mempunyai kemahiran menulis untuk menghasilkan esei dan artikel dengan mudah.

“Ia jelas menunjukkan profesion wartawan bakal menghadapi lebih banyak persaingan melainkan terdapat peningkatan yang ketara untuk permintaan kerja tersebut,” katanya.

Jangkaan itu sedikit sebanyak mencetuskan rasa bimbang kepada penulis jika AI berupaya menjadi game changer dalam budaya kerja kewartawanan pada masa depan seperti sudah dilakukan media di India yang menggunakan teknologi tersebut dalam menyelaraskan penghasilan berita.

Pada 2017, sebuah robot wartawan digelar Xiao Nan berjaya menghasilkan artikel sepanjang 300 patah perkataan dalam tempoh satu saat yang diterbitkan akhbar Southern Metropolis berpusat Guangzhou.

Ketika itu, ketua penyelidikan projek tersebut memberi jaminan robot pintar tidak akan menggantikan wartawan sepenuhnya walaupun ia mempunyai kapasiti analisis data lebih kuat dan pantas menulis berita.

Jika itu berlaku, bilik berita pada masa depan pasti tidak lagi akan riuh-rendah dengan suara manusia yang mengejar deadline.

*Marlissa Kamal ialah Wartawan Global Sinar Harian