Pearly pulih sebelum Piala Sudirman

Pearly bersama gandingannya, Thinaah.
Pearly bersama gandingannya, Thinaah.
A
A
A

PEMAIN beregu wanita negara, Pearly Tan kian beransur pulih sekali gus sedia beraksi bersama gandingannya, M Thinaah pada Kejohanan Piala Sudirman di Suzhou, China pada 14 hingga 21 Mei ini.

Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dr Tim Jones yang memaklumkan perkembangan terbaharu itu berkata, walaupun Pearly tidak dapat diturunkan dalam simulasi kejohanan Piala Sudirman pada Ahad, namun beliau yakin pemain berusia 23 tahun itu mampu pulih sepenuh menjelang kejohanan itu.

“Beliau mengalami sedikit kekejangan leher sejak Jumaat lepas dan masih belum 100 peratus pulih tetapi tiada sebab untuk mengambil risiko ke atasnya dan menjadikan keadaan lebih buruk.

“Adalah lebih penting untuk memastikan beliau bersedia minggu depan. Ia tidak membimbangkan kerana kami berjaya menguruskan segalanya dengan baik,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, pada Isnin.

Thinaah dan Pearly tersenyum.
Thinaah dan Pearly tersenyum.

Pada September lalu, Pearly mengakhiri perjuangannya bersama Thinaah setakat pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2022 selepas mengalami kecederaan lutut kiri.

Dalam masa sama, Jones menyifatkan barisan pemain yang menggalas tugas di Suzhou nanti, berpeluang untuk merealisasikan sasaran mara ke separuh akhir seperti yang ditetapkan BAM.

“Kami perlu mendapatkan semangat berpasukan yang tepat kerana ia akan membawa kami mara ke depan,” katanya.

Pada saingan Piala Sudirman, skuad negara diundi dalam Kumpulan C bersama Taiwan, India dan Australia dengan Malaysia perlu menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan pertama atau kedua untuk mara ke saingan suku akhir.

Skuad negara tidak pernah merangkul kejuaraan sepanjang pembabitan dalam kejohanan itu yang dipertandingkan sejak 1989 dengan pencapaian terbaik negara ialah beraksi di separuh akhir pada 2009 dan 2021. - Bernama