Kemarau: Thailand perketat rondaan di Sungai Golok

Mejar Jeneral Chalermporn Khomkhew
Mejar Jeneral Chalermporn Khomkhew
A
A
A

NARATHIWAT - Pihak berkuasa di sini memperketatkan lagi rondaan di sempadan Thailand-Malaysia selepas air Sungai Golok mulai surut akibat kemarau yang melanda ketika ini.

Komander Divisyen Infantri ke-15 Tentera Diraja Thai, Mejar Jeneral Chalermporn Khomkhew berkata, kawalan tersebut memperlihatkan betapa serius pihaknya dalam membendung aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

"Cuaca panas yang sedang melanda ketika ini menyebabkan air di kawasan Sungai Golok menjadi semakin kering dan situasi itu diambil serius oleh pihak kami.

"Hal ini kerana, rakyat kedua-dua negara boleh menggunakan sungai untuk menyeberang pada bila-bila masa yang mereka mahu," katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, pihaknya turut mewajibkan pengusaha bot di kawasan sempadan Thailand-Malaysia mendaftar dengan pihak berkuasa di negara ini.

Ujarnya, tindakan itu bagi membantu pihak tentera menjejaki pemilik tidak berdaftar selain memantau aktiviti jenayah rentas sempadan.

"Jadi jika ada bot yang tidak didaftarkan, kami tidak akan teragak-agak untuk merampas bot itu dan kemudian memusnahkannya," katanya.

Chalermporn memberitahu, kerjasama dengan agensi sempadan lain seperti Polis Marin dan Jabatan Kastam turut dijalinkan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

Tambahnya, beliau mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa di Malaysia sentiasa bertukar maklumat mengenai aktiviti rentas sempadan.