Menang ke atas United, West Ham belum selamat

Said Benrahma pencetak gol tunggal perlawanan berintensiti tinggi West Ham United menentang Manchester United di London. - Foto Agensi
Said Benrahma pencetak gol tunggal perlawanan berintensiti tinggi West Ham United menentang Manchester United di London. - Foto Agensi
A
A
A

KESILAPAN penjaga gol Manchester United, David De Gea menghadiahkan West Ham United tiga mata penting buat kelab mengelak zon penyingkiran itu ketika menang tipis 1-0 ke atas Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London.

Semua berpunca selepas percubaan Said Benrahma pada minit ke-27 gagal diselamatkan penjaga gol dari Sepanyol tersebut setelah The Red Devils menguasai rentak permainan pada awal perlawanan.

Tiga mata itu membolehkan West Ham berada di tangga ke-15 dengan 37 mata, tujuh di atas zon penyingkiran manakala United berada di tempat keempat dengan 63 mata selepas 34 perlawanan.

Anak buah Erik ten Hag yang kini dalam pemburuan slot ke Liga Juara-Juara satu mata di hadapan Liverpool dengan satu perlawanan di tangan ke atas Merseysiders.

Sementara itu, Kapten West Ham, Declan Rice mengakui kemenangan di bumi London tersebut cukup penting selepas persembahan hambar The Hammers dalam tiga perlawanan terakhir sebelum ini.

Katanya, setiap mata dalam baki perlawanan selepas ini amat penting buat kelab tersebut dalam mengekalkan status elit berkenaan dalam Liga Perdana Inggeris.

"Mata yang diberikan kepada kami kini meletakkan jurang yang baik antara kami dan pasukan di bawah. Masih ada tiga perlawanan lagi, namun kepentingan tiga mata adalah besar.

"Saya rasa ini persembahan terbaik West Ham di laman sendiri musim ini. Agresif satu lawan satu, semuanya hari ini adalah persembahan yang positif," katanya.

Dalam pada itu, Pengendali Hammers, David Moyes memuji watak bertenaga pemain-pemainnya, namun mengingatkan bahawa kelab berpusat di London berkenaan masih belum selamat dari zon penyingkiran ke Liga Kejuaraan musim depan.

“Angka (mata) itu tidak mengesahkan bahawa ia telah mengekalkan anda dalam Liga Perdana Inggeris musim depan, jadi kami perlu menantikan perlawanan seterusnya dan cuba mengutip lebih banyak mata,” katanya.