Anwar lancar Proton X90

Anwar melancarkan Proton X90 yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia pada Ahad. - Foto SINAR HARRIAN/ROSLI TALIB
Anwar melancarkan Proton X90 yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia pada Ahad. - Foto SINAR HARRIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan SUV Baharu Proton X90 yang ditawarkan pada harga bermula RM123,800.

Ditawarkan dengan empat varian iaitu Proton X90 1.5 TGDI BSG Standard yang dijual pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM123,800; Proton X90 1.5 TGDI BSG Executive (bermula RM130,800); Proton X90 1.5 TGDI BSG Premium (bermula RM144,800); dan Proton X90 1.5 TGDI BSG Flagship (bermula RM152,800).

Pelancaran Proton X90 bukan sahaja menambah model ketiga kepada rangkaian SUV jenama terkemuka di pasaran, tetapi ia juga merupakan tawaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) syarikat.

Model baharu ini dijana oleh enjin TGDi 1.5 liter yang juga merupakan pemenang anugerah yang dipadankan dengan sistem sinergi motor elektrik 48V.

Ia menjanjikan penjimatan penggunaan bahan api, pelepasan karbon yang lebih rendah, prestasi yang lebih baik dan pengalaman pemanduan yang lebih lancar.

Menurut Proton, X90 dihasilkan dari platform Advanced Versatile dan ia mengambil masa bekerja selama 96,000 jam untuk disiapkan.

Ia membabitkan ujian pemanduan dalam jarak 1.2 juta kilometer, menukar posisi pemanduan dari sebelah kiri ke sebelah kanan.

Proton X90 juga menampilkan 45 peratus kandungan tempatan, dengan 500 komponen dibekalkan oleh vendor tempatan.

Dalam pada itu, penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza turut menyatakan hasrat untuk memiliki Proton X90.

Beliau menjadi penyanyi undangan sempena majlis pelancaran itu.

"Insya-ALLAH saya juga bakal memilikinya (Proton X90) kerana saya salah seorang pelanggan Proton dari dulu lagi," katanya ketika salah satu persembahannya.

Proton antara penyumbang besar ekonomi negara

Dalam pada itu Anwar berkata, Proton menjadi antara penyumbang terbesar dalam ekonomi negara dengan sejumlah RM26 bilion disumbangkan menerusi cukai jualannya sejak 40 tahun penubuhannya.

Beliau turut menjangkakan sumbangan lebih besar mampu diberikan Proton untuk masa akan datang.

"Sebagai Menteri Kewangan, saya begitu teruja kerana Proton juga antara penyumbang terbesar ekonomi negara.

"Dengan sumbangan berjumlah RM26 bilion (sejak 40 tahun ditubuhkan), saya menjangkakan lebih banyak sumbangan Proton dalam beberapa tahun akan datang," katanya ketika berucap sempena

sambutan ulang tahun Proton ke-40 dan Pelancaran Proton X90 di sini pada Ahad.

Pada masa sama, beliau berkata, Proton perlu terus bergerak ke hadapan dan mengembalikan kedudukannya sebagai syarikat peneraju dalam bidang automatif.

"Proton perlu maju dan menjadikan kedudukannya sebagai syarikat automotif terkemuka dan menjadi hab eksport ke pasaran antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata secara purata, Proton menyumbang RM625 juta setahun sejak 40 tahun penubuhannya.

Katanya, Proton bukan sekadar pengeluar kereta tetapi mencipta keupayaan tenaga kerja bidang kejuruteraan.

"Pada masa ini, kami mempunyai lebih daripada 60 jurutera Proton yang berpangkalan di Ningbo, China, dalam proses latihan.

"Mereka ini bertanggungjawab dalam pembuatan kenderaan tenaga baharu Proton pada masa hadapan,"katanya.