Cuaca panas bantu harumanis cepat masak

Osman (kanan) ketika melakukan proses rawatan air panas ke atas mangga harumanis yang telah diambil daripada ladang di Beseri, Perlis. (Gambar kecil: Idris Ahmad, Hafizzuddin Othman)
Osman (kanan) ketika melakukan proses rawatan air panas ke atas mangga harumanis yang telah diambil daripada ladang di Beseri, Perlis. (Gambar kecil: Idris Ahmad, Hafizzuddin Othman)
A
A
A

KANGAR - Musim panas yang melanda negara ketika ini mempercepatkan proses mangga harumanis menjadi matang dan cepat masak pada tahun ini.

Ketua Kelompok Harumanis Kampung Tanah Pasir di Beseri, Idris Ahmad, 59, berkata, tempoh harumanis masak adalah 56 hari daripada tarikh buah tersebut dibungkus.

Menurutnya, pengeluaran harumanis pada tahun ini lebih awal disebabkan oleh cuaca panas, bagaimanapun jualan agak perlahan berbanding tahun lalu kerana orang ramai baharu sahaja menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Pengeluaran buah awal sikit daripada tarikh yang patut kita kutip buah. Macam tahun ini musim panas jadi kita terpaksa percepatkan tempoh mengutip buah.

"Kalau ikutkan 23 April kita dah boleh kutip tetapi dengan raya kita ubah tarikh pada 26 April jadi buah pun akan masak di pokok.

"Kebiasaannya kalau buah masak di pokok, kita tak akan pasarkan, jika adapun kita jual pada orang tempatan. Bila jadi macam ini petani-petani tak tahu ke mana nak di hantar. Apabila buah terlalu banyak tetapi permintaan rendah," katanya ketika ditemui di Pusat Pengumpulan Kelompok Harumanis Kampung Tanah Pasir di Beseri baru-baru ini.

Shahidan (kiri) dan Osman memeriksa mangga harumanis yang dipetik di Ladang Kelompok Harumanis Kampung Tanah Pasir, di Beseri, Perlis. (Mangga harumanis jenis premium di jual sekitar RM140 untuk tiga kilogram.)
Shahidan (kiri) dan Osman memeriksa mangga harumanis yang dipetik di Ladang Kelompok Harumanis Kampung Tanah Pasir, di Beseri, Perlis. (Mangga harumanis jenis premium di jual sekitar RM140 untuk tiga kilogram.)

Seorang lagi ahli kelompok Harumanis Kampung Tanah Pasir, Shahidan Sudin, 63, turut mengakui proses jualan agak perlahan dan menjualnya secara runcit di Perlis termasuk negeri berdekatan seperti Kedah dan Pulau Pinang.

Dia berkata, Pusat Pengumpulan Kelompok Harumanis Kampung Tanah Pasir turut menerima buah daripada 145 pekebun di kawasan sekitar untuk membantu mereka menjual buah tersebut.

"Pengambilan buah daripada petani sekarang dihentikan buat sementara waktu kerana bimbang lambakan berlaku dan boleh menyebabkan buah harumanis rosak," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pertanian Negeri Perlis, Hafizzuddin Othman berkata, jabatan tersebut melantik sebuah syarikat untuk memasarkan buah berkenaan secara dalam talian bagi membantu pekebun harumanis.

Menurutnya, bagi pasaran di Perlis, harumanis dijual pada harga antara RM25 sehingga RM45 sekilogram mengikut gred manakala mangga harumanis jenis premium pula di jual sekitar RM140 untuk tiga kilogram.

"Selain itu, pelanggan juga boleh membeli buah ini melalui platform media sosial yang disebarkan oleh orang ramai ataupun peniaga-peniaga itu sendiri.

"Apabila jualan harumanis dijual secara dalam talian, maka pembeli berada di mana sahaja boleh dapatkan harumanis dalam tempoh yang amat singkat," jelasnya.