Johor lulus pembelian 1,500 CCTV di tiga PBT

Mohd Jafni mengadakan sidang akhbar selepas Program Gotong Royong Johor Bersih di Sungai Segget, Johor Bahru pada Ahad
Mohd Jafni mengadakan sidang akhbar selepas Program Gotong Royong Johor Bersih di Sungai Segget, Johor Bahru pada Ahad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor meluluskan pembelian 1,500 rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk dipasang di tiga bandar raya di negeri ini terutama di kawasan tumpuan orang ramai.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pemasangan itu melibatkan 500 unit di setiap kawasan pentadbiran tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

"Inisiatif ini bagi menggantikan kamera rosak termasuk peranti tidak berfungsi selain merealisasikan pelaksanaan Johor Selamat selaras agenda 'The Greater Johor Bahru’.

"Diperingkat kerajaan telah meluluskan kertas kerja dalam 'The Greater JB' melibatkan PBT iaitu MBJB, MBIP, MBPG, dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu). Tiga bandaraya telah mendapat kelulusan daripada peringkat kerajaan daripada ahli-ahli majlis kerajaan negeri untuk membeli 500 unit kamera AI setiap bandaraya manakala MPKu sebanyak 100 unit," katanya.

Onn Hafiz diberi penerangan mengenai myd ball semasa Program Gotong Royong Johor Bersih di Sungai Segget, Johor Bahru pada Ahad
Onn Hafiz diberi penerangan mengenai myd ball semasa Program Gotong Royong Johor Bersih di Sungai Segget, Johor Bahru pada Ahad

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Program Gotong-Royong Johor Bersih Perdana bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Legaran Sungai Segget pada Ahad.

Mohd Jafni berkata, CCTV yang dipasang itu akan menggunakan kamera AI berteknologi tinggi dengan kemampuan boleh mengimbas wajah, nombor plat kereta dan data-data dengan tepat.

CCTV itu katanya, akan ada pusat kawalan dan pautan dengan 'command centre' pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana pelaksanaan penguatkuasaan bukan sahaja di peringkat PBT malah melibatkan pihak polis.

Menurutnya, pemasangan CCTV di kesemua PBT akan dilaksanakan menjelang hujung tahun ini selaras usaha kerajaan negeri dalam memastikan agenda Johor Selamat dapat direalisasikan.

Sementara itu, beliau memberitahu, sepanjang tempoh Februari sehingga April lalu, MBJB telah mengeluarkan 10 kompuan RM500 dan 250 notis amaran ke atas individu sebagai tindakan penguatkuasaan kerana kesalahan membuang sampah di kawasan yang tidak dibenarkan.

Ujarnya, tindakan itu sebagai langkah kerajaan negeri dalam gerak kerja meletakkan agenda Johor Bersih yang dilancarkan Julai tahun lalu terus dilaksanakan.

"Kerajaan negeri dalam keputusan akhir iaitu menunggu kelulusan menguatkuasakan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu melaksanakan kompuan serendah RM50 serta-merta ke atas mereka yang membuang sampah ke merata-rata tempat.

"Dasar ini akan melibatkan semua 16 PBT yang ada di negeri ini sebagai tindakan khas bukan sahaja kepada individu yang membuang sampah malah mereka yang merosakkan harta benda kerajaan dan vandalisme," katanya.