ADUN Belantik kritikal, sedang dirawat di HSAH

Mohd Isa
Mohd Isa
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Datuk Mohd Isa Shafie dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.

Timbalan Yang Dipertua Pas Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, Mohd Isa, 69, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kedah itu dimasukkan ke Hospital Sik kira-kira jam 7 malam tadi sebelum dibawa ke HSAH pada jam 4 pagi kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru dan buah pinggang.

"Menurut anak beliau, Ustaz Mohd Isa kelihatan lemah dan rebah di dalam bilik air di rumahnya di Kampung Jelutong, Sik lebih kurang jam 1.30 petang semalam sebelum dibawa ke Hospital Sik dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim.

"Keadaan kesihatannya lemah dan menurun sebelum doktor menidurkannya, saya memohon orang ramai mendoakan beliau agar sembuh dan dapat terus berkhidmat kepada rakyat Belantik," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ahmad Tarmizi yang juga Ahli Parlimen Sik berkata, pada masa ini orang ramai tidak dibenarkan melawat ADUN itu dan mengharapkan semua ahli keluarganya bersabar menghadapi ujian berkenaan.

Beliau berkata, Mohd Isa menjadi ADUN Belantik selama tiga penggal dan sebelum ini menghidap penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi serta jantung. - Bernama